Khamis, 16 Januari 2014

Perdana Menteri harus berhenti melantik Duta Khas yang mahal



Kenyataan Akhbar Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (PKR) berkenaan dengan perlantikan Duta Khas ke Asia Timur

3hb Januari 2014

Mengikut laporan beberapa akhbar tempatan, Dato’ Seri Tiong King Sin, Ahli Parlimen Bintulu dilantik sebagai “Duta Khas berstatus Menteri” yang terbaru ke Asia Timur. Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Shahidan Kassim mengumumkan berita tersebut di Bintulu baru-baru ini.

Duta Khas yang mempunyai latar belakang politik dilantik oleh Perdana Menteri sebelum itu adalah YB Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis Duta Khas ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Ong Ka Ting Duta Khas ke Republik Rakyat China dan Dato’ Seri S Samy Vellu Duta Khas ke India dan India Selatan dalam bahagian infrastruktur. Kesemua mereka berstatus menteri. Pulangan daripada perlantikan duta-duta khas ini tidak ketara. Hasil kerja duta-duta khas ke Amerika, China dan India tidak membawa lonjakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang besar kepada Negara.

Saya ingin menyeru Perdana Menteri berhenti melantik duta-duta khas yang mahal dan memakan belanja yang besar dengan serta merta.

Perlantik YB Dato Seri Tiong baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan. Kerajaan Barisan Nasional perlu menjelaskan rasionalnya melantik Duta Khas untuk hal ehwal Asia Timur?

Malaysia mempunyai duta-duta professional yang berfungsi dengan baik di Negara-negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun. Dari segi perdagangan di antara Negara-negara tersebut, kita mempunyai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mengendalikan urusan perdagangan dengan negara-negara tersebut dengan baik. Apakah tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada Duta Khas? Kerajaan BN harus memperjelakan mengapakah perlunya lantikan Duta Khas, sedangkan kita sudah ada menteri perdangangan antarabangsa dan duta besar?

Persoalan kedua adalah, apakah kehebatan Dato Seri Tiong, sehinggakan beliau dilantik ke jawatan yang seolah-olah begitu penting? Kalau dilihat dari segi kepakaran, adakah beliau pakar geo-politik Asia Timur? Adakah beliau pakar ekonomi dan perdagangan Asia Timur yang tersohor? Adakah ini satu ganjaran politik kepada beliau akibat tidak dilantik menjadi menteri?

Isu yang paling ketara adalah, pentadbiran Perdana Menteri berterusan melantik perjawatan duta khas dan penasihat khas yang mahal dan membebankan kewangan negara. Buat masa sekarang, Perdana Menteri mempunyai 4 duta khas dan 13 penasihat khas (ramai antaranya berstatus menteri), ini adalah paling banyak dalam sejarah Malaysia.

Mengikut jawapan parlimen Duta Khas mendapat gaji bulanan RM27,227.20, gaji lebih tinggi daripada menteri. Oleh kerana mereka berstatus menteri maka mereka juga menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri. Mereka diberi pejabat yang dibiayai kerajaan. Ada sesetengah duta-duta khas diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring PDRM. Mereka juga sentiasa menjelajah ke seluruh dunia. Kesemua ini memakan belanja yang besar. Maka secara konservatif, perlantikan duta-duta khas kerajaan akan belanja lebih 2 juta setahun.

Dalam sidang parlimen yang lalu, saya telah mengemukakan satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), di peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi JABATAN PERDANA MENTERI untuk memotong gaji duta-duta khas berjumlah RM 980,179.20 (RM27,227.20 x 3 orang x 12 bulan). Usul tersebut Berjaya dilulus oleh Speaker untuk dibahaskan, satu perkara yang cukup luar biasa. Malangnya ia ditentang habis-habisan oleh ahli dewan dari BN dan usul ditolak.

Dengan keadaan fiskal kewangan yang ketat dan hutang kerajaan pusat yang akan mencecah 55% KDNK, apakah perlu kita berbelanja dalam melantik satu lagi duta khas? Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan 11 langkah pengurangan kos kerajaan (austerity measures). Beliau harus mengumumkan langkah ke-12 iaitu penghapusan semua 4 duta-duta khas dan 13 penasihat khas mahal di bawah Jabatan Perdana Menteri.   


Sim Tze Tzin,
Bayan Baru MP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan