Salam
sejahtera saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua
Jabatan yang berada di Dewan yang mulia ini.
Saya rasa
sungguh teruja untuk membahaskan Belanjawan Perak 2013 yang merupakan
belanjawan terakhir bagi Dewan Negeri Perak yang ke-12.
Terlebih
dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Sg Rapat yang memuji saya
semalam kerana sentiasa turun padang di kawasan-kawasan ADUN BN yang lain. Ini
merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh EXCO Kanan BN sendiri bahawa
saya rajin turun padang menyelesaikan masalah rakyat.
Untuk
maklumat Yang Berhormat Sg Rapat, saya masuk kawasan orang lain semata-mata
untuk membantu rakyat yang menjemput saya. Saya tidak masuk kawasan-kawasan
lain di atas kapasiti ADUN Tronoh tetapi sebagai Timbalan Pengerusi DAP Perak
yang berhak untuk jelajah seluruh Perak mendengar rintihan rakyat.
Di sini,
saya juga ingin memperbetulkan YB Sg Rapat yang membuat komen bahawa saya tidak
menjaga kawasan saya. Ini adalah tidak betul dan satu tuduhan yang tidak akan
dipercayai oleh mana-mana pihak. Saya berada di DUN saya hampir setiap hari.
Kalau tidak percaya, sila masuk ke Facebook saya atau ikuti saya dalam Twitter
‘sivatronoh’ untuk mengetahui aktiviti-aktiviti saya.
Untuk
makluman YB Sg Rapat, Facebook dan Twitter saya adalah percuma, dan tidak
dibelanjakan berjuta-juta ringgit seperti Menteri Pelancongan ‘Curi-curi
Malaysia’.
1. MASALAH BANJIR DI TAMAN TIEN SHIEN
Penduduk
Taman Tien Shien, Batu Gajah sering menghadapi masalah banjir apabila hujan
lebat turun. Banjir kilat ini berpunca daripada Sungai Resam dan
longkang-longkang di sekitar kawasan perumahan Taman Tien Shien. Perkara ini
telah dibawa kepada perhatian pihak JPS dan MDBG tetapi tidak ada tindakan
susulan sehingga hari ini. Pada tahun 2008, pihak kerajaan telah membelanjakan
RM2.4juta untuk menaik taraf sungai tersebut. Tetapi tidak ada apa-apa kesan
daripada wang yang dibelanjakan. Mohon kerajaan memberi maklum balas mengenai
hal ini.
2. SJKT GUNUNG RAPAT
Pada
24 Mei 2012, YB Sg Rapat dan Penasihat kepada Menteri Besar Dato’ Veerasingam
telah memberikan geran tanah kepada SJKT Gunung Rapat. Semasa pesta Deepavali
2011, di Little India Jalan Lahat, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri
Muhyiddin Yassin telah menjanjikan RM2.4juta untuk projek pembinaan bangunan
baru di tapak yang diluluskan di Ampang. YB Sg Rapat juga telah menjanjikan
bahawa kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dalam tempoh 3 bulan dan bangunan
akan siap dibina dalam jangkamasa satu tahun. Tetapi sehingga hari ini, sebiji
bata pun tidak sampai di tapak baru yang diluluskan. Ini adalah satu lagi janji
capati Barisan Nasional untuk menipu kaum India negeri Perak khususnya penduduk
Gunung Rapat.
SJKT MENGLEMBU
Begitu
juga SJKT Menglembu, masih menunggu selama lebih 5 tahun untuk peruntukan wang
daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina bangunan baru. Setiap kali apabila
saya membangkitkan isu ini pihak MIC dengan serta-merta membalas kenyataan
media bahawa peruntukan sudah diluluskan dan akan sampai pada bila-bila masa.
Saya tidak tahu jalan mana yang diambil oleh wang peruntukan itu untuk sampai
ke Ipoh. Lebuhraya Utara-Selatan atau jalan lama kerana begitu lama untuk wang
peruntukan dari Putrajaya sampai ke Ipoh.
3. VADAI GERGASI
Baru-baru
ini satu program yang amat melucukan telah dianjurkan di kawasan Kacang Putih,
Buntong. Program membuat Vadai Gergasi untuk Malaysia Book of Records. Saya
tidak tahu apa keistimewaan program ini. Kalau guna sikit tepung, vadai yang
kecil, kalau guna banyak tepung, vadai yang besar, what is so special about
it? (dengan izin). Inipun mahu masuk dalam Malaysia Book of Records.
Sungguh memalukan! Dunia sedang menuju ke arah teknologi maklumat canggih
tetapi golongan ini buat Vadai Gergasi untuk menipu rakyat. Program ini
dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2012 yang dirasmikan oleh YB Sg Rapat.
Dalam program itu, YB Sg Rapat berjanji untuk memberi peruntukan sebanyak RM50 ribu
untuk membuat Vadai Gergasi. Persoalannya sekarang, wang peruntukan itu adalah
wang YB Sg Rapat sendiri atau peruntukan kerajaan negeri?
4.
PAPAN
Kerajaan
telah meluluskan tapak seluas 560 ekar untuk pelupusan sisa pepejal di Papan.
Projek ini telah dimulakan pada 1 April 2012 tetapi ia tidak dapat beroperasi
penuh kerana terdapat lebih kurang 30 orang petani-petani dan penternak-penternak
yang sedang mengusahakan tanah tersebut. Akibatnya seringkali bau busuk menjadi
aduan penduduk Pusing, Bukit Merah, Papan, Menglembu, Batu Gajah Perdana dan
Lahat. Saya telah membangkitkan isu ini beberapa kali tetapi hanya didengari
oleh telinga-telinga pekak. Petani-petani dan penternak-penternak itu sentiasa
diberi janji kosong oleh kerajaan untuk memberi tanah gantian. Setakat ini
mereka tidak diberi tanah tetapi sentiasa diusir oleh operator pelupusan sisa
pepejal.
Baru-baru
ini air kotor dari tapak pelupusan sampah itu disalurkan ke dalam kolam-kolam
ikan yang diusahakan oleh penternak-penternak itu. Akibatnya ratusan ribu ikan
yang diternak itu telah mati. Air kolam ini pula memasuki Sungai Papan
kemudiannya ke Sungai Johan dan seterusnya ke Sungai Kinta.
Sudah
pasti sungai-sungai itu telah tercemar akibat tindakan yang tidak
bertanggungjawab itu. Adakah pihak Jabatan Alam Sekitar sedar tentang perkara
ini? Adakah kerajaan benar-benar ingin dan akan membantu petani-petani dan
penternak-penternak ini ataupun mereka akan ditipu dengan janji kosong BN?
Saya
cukup khuatir kerana ‘orang mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih’.
5.
2000 EKAR
Kerajaan
sekali lagi telah memperdayakan masyarakat India dengan tipu muslihat pemberian
tanah 2000 ekar untuk sekolah-sekolah Tamil di Negeri Perak. Tanah itu tidak
pernah diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil. Tanah itu diberikan kepada
Yayasan Perak. Yayasan Perak bukanlah satu badan atau organisasi kaum India.
Ini adalah satu ‘modus operandi’ kerajaan BN untuk mengaburi mata
masyarakat India.
Mengikut
Laporan Audit terkini, Yayasan Perak telah berhutang dengan Agro Bank dan Bank
Rakyat sebanyak RM74 juta. Kedudukan kewangan Yayasan Perak sendiri dalam
keadaan melarat. Kerajaan belikan 2000 ekar tanah kepada organisasi yang berada
dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Tanah ini perlu diselamatkan dengan
serta-merta. Jika tidak, masyarakat India akan ditipu lagi oleh kerajaan BN.
Banyak
juga buaya-buaya darat sudah membuka mulut tunggu untuk telan 2000 ekar tanah
yang diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil itu.
Status
tanah 2000 ekar untuk sekolah-sekolah Tamil itu pada hari ini adalah
seolah-olah ‘ikan digantung kucing tunggu’. Apakah salahnya kerajaan
memberikan 2000 ekar tanah itu di atas nama kesemua 134 sekolah Tamil dan
diselenggarakan oleh pemegang amanah untuk sekolah-sekolah Tamil di Perak?
Saya
juga menasihatkan kerajaan ini supaya jangan sekali-kali memberikan amanat itu
kepada orang-orang MIC dan kroni-kroninya untuk menguruskan tanah itu.
6. NOTIS ROBOH KUIL
Semalam
saya terbaca di dalam akhbar Tamil bahawa tidak ada sebarang notis dikeluarkan
untuk merobohkan kuil Hindu di Tg Rambutan. Kenyataan ini diberikan oleh Yang
Berhormat Pangkor sendiri.
Tetapi,
ada atau tidak notis untuk merobohkan rumah-rumah ibadat dikeluarkan oleh pihak
Kerajaan Tempatan sepanjang tahun 2009, 2010, 2011 dan 2012 di Perak? Adakah
notis-notis yang dikeluarkan itu masih sah? Saya mohon dan mestikan jawapan
kerajaan untuk hal ini.
Dalam
masa pemerintahan Pakatan Rakyat, kami ada polisi bahawa sebelum notis
merobohkan rumah ibadat, perlu mendapatkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri.
Adakah
polisi itu masih diteruskan oleh kerajaan BN atau kuasa mutlak diberikan kepada
Kerajaan Tempatan?
7. RIZAB SEKOLAH
Saya
juga ingin tahu berapakah jumlah sekolah-sekolah Tamil dan Cina yang masih
tanahnya belum dirizabkan lagi? Sila berikan sebab-sebab kenapa perkara ini
masih tidak dilaksanakan lagi. Di sini, saya mahu membawa kepada perhatian
Dewan Negeri yang mulia ini bahawa SJKT Kampar dan SJKT Changkat masih tidak
dirizabkan lagi tanahnya walaupun bangunan besar telah dibina bertahun-tahun
lamanya. Apakah muslihat kerajaan untuk tidak merizabkan tanah untuk
sekolah-sekolah ini?
Dalam
masa yang sama saya juga ingin tahu kenapa pihak kerajaan gagal untuk melantik
Pengarah di Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Jawatan ini telah dikosongkan pada
4 November 2011dan tidak ada gantian sehingga hari ini.
8. RADIOAKTIF DI BUKIT MERAH
Sisa-sisa
radioaktif telah ditanam di kawasan Papan sejak pertengahan tahun 80-an.
Sekarang kerja-kerja pindah dan menempatkan semula bahan-bahan buangan
radioaktif sedang dilakukan di situ. Adakah ini dilakukan kerana kerajaan
terdapat bacaan radioaktif yang positif di kawasan itu? Saya mahu kerajaan bercakap
benar berhubung dengan hal ini. Saya tidak mahu pihak kerajaan menutup hal ini
kerana takut reaksi atau bantahan rakyat Perak.
Datuk
Bandar Ipoh pernah berkata bahawa kawasan itu tidak sesuai untuk pertanian dan
penternakan kerana kawasan itu dicemari oleh radioaktif.
Saya
mohon kerajaan supaya dedahkan laporan yang diberikan oleh Atomic Energy
Licensing Board mengenai pembocoran radioaktif di kawasan tersebut.
Saya
difahamkan, kini sisa-sisa radioaktif di Papan itu ditanam dan dikebalkan
dengan dinding yang boleh bertahan selama 300 tahun. Adakah perkara ini benar?
Inilah nasib yang diterima oleh negeri yang tercinta ini kerana membenarkan
industri yang mara bahaya disebabkan ketamakan kerajaan BN.
Marilah
kita bersama-sama, di sebelah sini dan di sebelah sana, membantah projek Lynas
di Kuantan untuk selamatkan ibu-bapa, adik-beradik, saudara-mara dan kaum
kerabat kita yang bakal teraniaya jika projek dajal itu diteruskan. Kemasukan
Lynas ke negara ini seolah-olah kita membenarkan iblis memasuki bumi syurga.
9. ORANG ASLI
Saya tertarik dengan kenyataan media yang
dibuat oleh Pangkor pada 10 Oktober 2012 ‘kongsi ilmu perubatan herba, warisan
masyarakat orang Asli ada potensi untuk dikembangkan’.
Orang
Asli di Kampung Air Denak bertapak di situ sejak tahun 1942. Mereka menjalankan
aktiviti mencari hasil-hasil hutan seperti ubi kayu, buah-buahan dan lain-lain
untuk sumber makanan. Mereka juga memburu binatang dan mencari hasil hutan
seperti rotan, pucuk-pucuk kayu untuk tujuan perubatan dan sebagainya. Penduduk
kampung juga turut mengadakan upacara pemujaan nenek moyang untuk menjaga
kawasan yang didiami dan perubatan tradisional mengikut kepercayaan adat rasmi
Orang Asli. Orang Asli di Kg Air Denak mengadu bahawa ada peneroka-peneroka dan
pengusaha-pengusaha dari luar telah membuka ratusan ekar hutan di sekeliling
penempatan mereka. Siapakah peneroka-peneroka ini?
Kenapa
mereka mengganggu penduduk Air Denak dan merosakkan habitat dan punca
pendapatan mereka? Kalau hutan di sekeliling kampung itu habis dibersihkan,
bagaimanakah orang-orang Asli di kawasan ini akan menjalani kehidupan mereka?
Satu
memorandum yang ditandatangani oleh penduduk Kg Air Denak telahpun diserahkan
kepada Kerajaan Negeri Perak tetapi tidak ada sebarang tindakan ataupun
maklumbalas sehingga kini daripada pihak Kerajaan.
Saya
cuma ingin mengingatkan kerajaan bahawa ‘jangan disangka ikan lais-lais
tidak menyengat’. Orang Asli juga tahu hak mereka di bumi tercinta ini.
10. KAMPUNG SENGAT ESTET
Kampung Sengat Estate yang didiami oleh lebih
kurang 40 buah keluarga miskin sejak tahun 1979 masih tidak mendapat tanah yang
dijanjikan oleh MIC. Setiap kali pilihanraya umum, janji-janji manis ditaburkan
oleh pemimpin MIC. Selepas pilihanraya, mereka menghilangkan diri.
Adakah
kerajaan berhasrat untuk meluluskan 13 ekar tanah di Kampung Sengat Estate itu
untuk mereka yang amat memerlukan geran tanah tersebut. Saya juga ingin
mengetahui samada sasaran setinggan sifar sudah dicapai ataupun tidak?
Jika tidak, saya mohon supaya senaraikan
setinggan-setinggan yang masih belum diselesaikan berserta dengan sebab-sebab
kegagalan tersebut.
11.
KHALWAT PASANGAN BUKAN ISLAM DI KELANTAN
Baru-baru
ini dua pasangan kekasih bukan Islam dilaporkan ditangkap khalwat oleh pegawai
penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kelantan. Ketua Pemuda MCA Negeri,
Gan Han Chuan berkata kes itu adalah pertama kali dalam sejarah dimana pasangan
bukan Islam dikenakan tindakan yang sepatutnya dikhususkan kepada orang Islam.
Beliau juga mendakwa pegawai penguatkuasa berkenaan hilang kewarasan dan cuba
melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam.
Untuk
makluman Dewan yang mulia ini, saya ingin tunjukkan kenyataan media Star Nation, mukasurat 16,
yang bertarikh 28 Mei 2003. Akhbar itu melaporkan bahawa seorang pelajar kolej berbangsa Cina mendakwa
beliau dan kekasihnya ditangkap berpegang tangan di Padang Ipoh pada 13 April
2003. Saman telah diberikan kepada kedua-dua pasangan itu dibawah Ipoh
Municipal By Law 1985.
Terbukti,
Ketua Pemuda MCA Negeri Kelantan, Gan Han Chuan adalah seorang penipu.
Saya
ingin tanya Dewan Yang Mulia ini, sama ada undang-undang ini masih wujud atau
tidak di Negeri Perak? Dan di mana perginya pemimpin-pemimpin MCA ketika itu
yang tidak membantah undang-undang tersebut.
Selain
daripada itu, seorang lagi remaja berbangsa India berumur 20 tahun ditangkap
kerana berbual-bual dengan teman sekolahnya di tangga Perpustakaan Tun Razak
pada 6 Mei 2003. Mungkin banyak lagi kes-kes seperti ini ditangkap dan tidak
dilaporkan di Negeri Perak.
MCA
hanya mencari publisiti murahan untuk meraih sokongan pengundi-pengundi Cina
dengan fitnah dan pembohongan.
Sebelum saya
mengundur diri, saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada YB Pengkalan
Hulu, seorang pemimpin yang dikagumi dan disegani oleh seluruh rakyat Malaysia.
Jasanya tetap akan dikenang.
Untuk yang
lain, marilah kita bersama-sama turun gelanggang pilihanraya secara gentleman
(dengan izin) tanpa sebarang tipu muslihat dengan jaminan Malaysia, Untuk
Rakyat Malaysia.
Salam Ubah.
Terima
kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan