03JUL2011 - IPOH
Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3 Julai 2011 di Pejabat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Ipoh.
Pada 25 Jun 2011, 31 ahli dan penyokong PSM, termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S. Jayakumar Devaraj ditahan atas dakwaan bahawa polis menemui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas yang mereka naiki, di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.
Sebenarnya, mereka terlibat dalam satu kempen politik ‘Udahla tu …..Bersarala’. Sebagai satu parti politik yang sah dan berdaftar mereka mempunyai hak untuk membuat kempen politik di mana sahaja di negara ini. Tetapi, kempen ini telah dihodohkan dengan satu tangkapan polis yang mempunyai niat yang berlainan. Polis dan BN telah menggunakan peluang ini untuk menyimpang isu sebenar dan melakukan satu konspirasi bagi kepentingan politik mereka.
Dipercayai bahawa tangkapan ini ada kaitan dengan Perhimpunan Bersih 2.0. Kerajaan BN menggunakan PDRM untuk mematahkan perhimpuan aman itu. Antara langkah pertama yang diambil adalah dengan menangkap Dr Jayakumar dan 30 orang lain dengan satu tuduhan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima akal. Polis sengaja mengenakan tuduhan yang tidak berasas dengan satu kesalahan yang amat berat agar pemimpin-pemimpin politik dan rakyat akan takut dalam suasana yang tidak menentu ini. Tindakan ini adalah satu perbuatan zalim oleh kerajaan BN untuk kepentingan politik mereka. Ini juga ada kaitan dengan ucapan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa BN akan terus mengekalkan kuasa mereka di Putrajaya dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ahli-ahli PSM ditangkap atas tuduhan perhimpunan haram, hasutan dan percetakan dan pengedaran risalah secara haram. Polis mendakwa berdasarkan beberapa barangan yang dirampas daripada aktivis berkenaan menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan fahaman parti Komunis Malaya (PKM). Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan ini adalah sesuatu yang tidak relevan dan amat janggal sekali.
Buku-buku ideologi komunisme atau tokoh-tokohnya boleh didapati di kebanyakan kedai-kedai buku di Malaysia. Adakah orang-orang yang menjual, membeli, menulis dan membaca buku-buku itu akan dianggap sebagai komunis? Di setiap pusat pengajian tinggi juga mempunyai buku-buku seperti ini. Adakah ini satu kesalahan di bawah Ordinan Darurat 1969 atau undang-undang lain di negara kita? Kerajaan Malaysia juga megadakan menjalin hubungan yang baik dengan Pemimpin-pemimpin Negara China yang mengamalkan fahaman komunisme. Ramai juga yang pernah datang ke Malaysia atas jemputan kerajaan kita. Adakah perkara ini boleh dianggap sebagai satu perbuatan subversif?
Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman 7 hari.
Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula sebaik mereka dibebaskan pada jam 2 petang semalam. Antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah Timbalan Pengerusi PSM M Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, Setiausaha Bahagian Sungai Siput A Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu.
Menurut maklumat, mereka telah dibawa ke Bukit Aman di Kuala Lumpur. Mereka dibebaskan dari ibu pejabat daerah polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 2 petang ini. Mereka ditangkap semula oleh anggota polis dari Bukit Aman yang bersedia menunggu di luar balai berkenaan. Mereka ditangkap dibawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969. Tangkapan Dr Jeyakumar dan lima ahli PSM yang ditahan semula di Ordinan Darurat ini telah disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.
Khalid berkata mengikut maklumat awal, mereka dikatakan terbabit dengan pihak dari luar negara dan telah diresapi anasir subversif. Katanya mereka ditahan untuk membantu siasatan lanjut berhubung maklumat awal yang diterima oleh pihak polis.
Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.
Tempoh 60 hari itu adalah tempoh siasatan polis. Mereka akan dibawa dari satu balai ke balai yang lain. Sukar untuk mengetahui dimanakah tahanan ini disiasat. Mereka juga tidak ikut peraturan lock-up iaitu siasatan 9am hingga 6pm. Malah mereka boleh menjalankan siasatan bila-bila masa. Kemudian Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk caj mereka di Mahkamah atau diteruskan dengan ISA.
Kebanyakan aktivis hak asasi manusia menganggap Ordinan Darurat lebih kejam daripada ISA. Seperti ISA, tidak perlu perintah reman daripada mahkamah untuk tangkapan seumpama ini.
Lazimnya, sejak beberapa tahun lalu, EO digunakan oleh polis bagi mengehadkan pergerakan mereka yang disyaki sebagai samseng dan terbabit dengan aktiviti haram dan kongsi gelap.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menafikan dakwaan bahawa kerajaan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan tindakan polis menyoal individu yang dipercayai terlibat dalam penganjuran perhimpunan dilarang Bersih 9 Julai ini.
Kerajaan BN berada dalam keadaan takut dan terdesak. Ini menyebabkan mereka telah hilang haluan dan menyalahgunakan kuasa secara sewenang-wenangnya.
Pakatan Rakyat Perak mengecam sekeras-kerasnya penggunaan Ordinan Darurat 1969 yang telah digunapakai secara zalim oleh Polis menangkap 6 orang pemimpin PSM ini.