Isnin, 3 Januari 2011

Taman Tien Shien Banjir Lagi


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh pada 2 Jan 2011


Taman Tien Shien Banjir Lagi


Masalah banjir di Taman Tien Shien masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan Negeri Perak. Walaupun perkara ini telah dibangkitkan banyak kali, tetapi tidak ada satu penyelesaian untuk masalah ini. Setiap kali hujan lebat akan mengakibatkan banjir di kawasan ini. Penduduk Taman Tien Shien, Batu Gajah sungguh kecewa kerana mereka terpaksa menderita apabila rumah-rumah mereka dibanjiri air. Mereka telah mengadu hal ini kepada pelbagai pihak tetapi perkara ini masih berterusan lagi.


Saya telah melaporkan masalah banjir ini beberapa kali sejak tahun 2008. Walau bagaimanapun, masalah ini wujud lama sebelum itu. Setelah desakan diberi berulang kali untuk mengambil tindakan, maka pihak Jabatan Pengairan dan Saliran( JPS ) telah membuat keputusan untuk membina benteng bata di Sungai Resam untuk menghalang air bah memasuki kawasan perumahan. Projek ini telah selesai dibina beberapa bulan yang lalu. Tetapi, masalah banjir ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Hujan lebat yang turun pada hari ini telah mengakibatkan banjir berlaku sekali lagi di Taman Tien Shien. Malah, paras air naik kali ini adalah yang paling teruk jika dibandingkan dengan banjir sebelum ini.


Pihak JPS seharusnya membuat satu kajian semula bagaimana mengatasi masalah ini. Didapati kuantiti air yang mengalir di sungai resam adalah terlalu besar kerana banyak anak sungai dan longkang di taman-taman perumahan berhampiran disalurkan ke dalam sungai ini. Tambahan pula banyak projek-projek pembangunan dan penebangan pokok di sekitar kawasan ini juga merupakan punca kepada masalah ini.


Pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) bersama-sama dengan pihak Perancangan Bandar harus meneliti sistem longkang di Taman Tien Shien ini. Apabila kederasan dan kuantiti air Sungai Resam meningkat, air ditendang keluar melalui longkang-longkang di kawasan perumahan ini. Tambahan pula, paras longkang-longkang itu adalah lebih rendah daripada paras air Sungai Resam apabila kuantiti air meningkat ketika hujan lebat.


Pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus mengambil inisiatif untuk membaik pulih sistem longkang di Taman Tien Shien. Jika tidak, masalah ini tidak boleh diselesaikan dan penduduk kawasan ini akan sengsara setiap kali banjir berlaku.


Satu perjumpaan atau mesyuarat harus diatur dengan segera diantara MDBG, JPS, ADUN dan penduduk Taman Tien Shien yang terlibat untuk membincang , mendapat maklum balas dan peneranagan yang sewajarnya daripada pakar teknikal bagi mengatasi masalah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan