Rabu, 14 April 2010
Pengalamam Baru Di Kuil Mariamman Parit
Hari ini merupakan perayaan Tahun Baru Tamil yang disambut oleh sebilangan besar kaum India. Satu pengalaman baru pada hari yang istimewa ini. Saya dijemput untuk menghadiri Perayaan Tahunan di Kuil Sri Maha Mariamman. Kuil ini terletak di sebuah ladang kelapa sawit di Parit Perak. Kuil yang sederhana ini terletak di tepi jalan besar menuju ke Bruas.
Ladang ini dahulunya merupakan ladang getah. Ramai kaum India menetap di ladang tersebut pada suatu masa dahulu. Kini, hanya tinggal hanya 3 keluarga sahaja yang bekerja di ladang kelapa sawit yang dimiliki oleh Taiko Plantations. Sebilangan besar daripada pekerja-pekerja di ladang ini sekarang adalah orang-orang Indonesia.
Walau bagaimanapun, sambutan yang meriah tetap berlaku di kuil ini pada tiap-tiap tahun pada 14 April. Penduduk ladang yang pernah menetap di ladang ini datang beramai-ramai untuk menyambut perayaan tahunan kuil. Mereka kini menetap di luar ladang dan mengambil kesempatan ini untuk datang berkumpul dan menyambut perayaan itu dengan bersama-sama dengan sahabat dan kaum keluarga. Ini dapat mengekalkan hubungan dan perasaan kasih sayang di antara mereka walaupun mereka tinggal jauh di antara satu sama lain.
Jawatankuasa kuil ini juga menghidangkan makan tengahari untuk semua penganut-penganut yang datang mengunjungi kuil ini. Perayaan berlanjutan sehingga ke malam. Upacara kemuncak ialah 'jalan bara api' yang dibuat pada petang tadi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan