Khamis, 24 Disember 2009

Keluhan Penduduk Mendapat Perhatian ADUN


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Desa Changkat, Batu Gajah

KELUHAN PENDUDUK MENDAPAT PERHATIAN ADUN

Pada bulan lepas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Tronoh V. Sivakumar telah menerima beberapa aduan daripada penduduk Jalan Anggerik, Desa Changkat, Batu Gajah yang tidak berpuas hati dengan longkang yang baru dibina oleh Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) kerana pembinaan tersebut telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh di perkarangan rumah mereka. Penduduk Desa Changkat membuat aduan tersebut kepada bekas Ahli Majlis Batu Gajah En Vijaya Kumar. Masalah seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Hanya selepas pembinaan longkang baru, masalah ini mula timbul dan ia amat membimbangkan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Masalah ini mendapat perhatian YB V.Sivakumar dan beliau telah melawat kawasan kejadian itu dengan segera. Beliau difahamkan punca tanah runtuh tersebut berlaku disebabkan oleh kelalaian pihak MDBG yang tidak mengikuti spesifikasi dan piawaian yang sepatutnya semasa membina longkang di kawasan tersebut.

Penduduk juga mendakwa bahawa pada mulanya mereka tidak bersetuju dengan pembinaan longkang di kawasan tersebut disebabkan faktor-faktor keselamatan. Namun demikian, keluhan mereka tidak dihirau oleh pihak MDKB. Setelah meneliti kawasan kejadian dan keparah tanah runtuh, YB. V.Sivakumar telah melaporkan masalah tersebut di Pejabat MDBG untuk tindakan selanjutnya memperbaiki benteng yang runtuh dengan segera.

Setelah beberapa minggu aduan dibuat MDBG telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih tapak tanah runtuh tersebut. Masalah tersebut telah diselesaikan oleh MDBG untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang di masa hadapan. Penduduk serta YB Sivakumar mengucapkan terima kasih kepada MDBG atas keprihatinan, kerjasama dan inisatif yang diambil oleh mereka dalam menyelesaikan masalah ini. Tindakan MDBG yang segera dapat mengelakkan masalah tersebut daripada berlarutan.

V.Sivakumar
22-12-2009

Ahad, 20 Disember 2009

Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama



Pengasingan Kuasa Di Malaysia

Oleh V.Sivakumar


Doktrin Pengasingan Kuasa adalah merupakan satu konsep asas di dalam pemerintahan demokratik moden. Teori ini dilahirkan oleh seorang pemikir Perancis yang bernama Montesquie.


Doktrin Pengasingan kuasa secara dasar bererti kuasa-kuasa pemerintahan kerajaan boleh dibahagikan kepada 3 iaitu :-

  1. Badan Perundangan /Legislatif
  2. Badan Eksekutif
  3. Badan Kehakiman

Perkara pokok mengenai konsep pengasingan kuasa ini ialah untuk menentukan supaya orang atau badan yang sama tidak dipertanggungjawabkan untuk menggubal undang-undang, melaksanakan polisi kerajaan dan menguatkuasakan undang-undang. Ini adalah bertujuan supaya pemusatan kuasa tidak berlaku kepada mana-mana pihak yang memerintah sesebuah negara. Teori pengasingan kuasa ini menjamin kuasa pemerintahan diagihkan kepada 3 badan kerajaan untuk mengimbangkan kuasa masing-masing. Ini bermakna jika konsep ini diikuti sepenuhnya maka ketiga-tiga cabang kerajaan itu tidak boleh campurtangan dalam hal-ehwal, fungsi dan urusan mana-mana cabang kerajaan yang lain. Masing-masing hanya menjaga rukun rukun rumahtanga sendiri dan tidak mencampuri hal rumahtangga pihak yang lain.


Ketiga-tiga cabang pemerintahan ini mestilah berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Mana-mana pihak tidak boleh menguasai kehendak pihak yang lain. Campurtangan mana-mana pihak akan mewujudkan pengaruh tak berpatutan dan seterusnya akan menimbulkan ketidakadilan akibat pemusatan kuasa kepada mana-mana satu cabang kerajaan.


Konsep Pengasingan kuasa ini adalah penting untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.


Bagaimana Eksekutif Campurtangan dalam Krisis Perak?

Bukankah seorang Speaker berhak memanggil dewan bersidang? Kalau hak untuk memanggil dewan bersidang juga dirampas daripada seorang speaker, apakah nilai-nilai demokrasi yang akan kita warisi pada masa akan datang. Kita tidak mahu anak-anak kita hidup dalam kelambu ‘demokrasi setengah masak’.Saya telah memanggil untuk mengadakan persidangan tergempar pada 3 Mac 2009. Tetapi saya dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai alasan. Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan. Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang. Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan. Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan. Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang? Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.


Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif. Penasihat Undang-undang Negeri Perak campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini. Beliau memberi pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut. Apakah kuasa yang ada pada Penasihat Undang-undang dalam menghalang persidangan dewan tergempar? Siapakan memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya? Tindakan beliau boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia. Beliau tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri. Penasihat Undang-undang cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’. Saya ingin mengingatkan supaya jangan meniadakan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tunggak demokrasi sesebuah negara. Gangguan-gangguan seperti ini akan mencemarkan nama baik institusi perundanagan yang disanjungi tinggi.


Saya telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap bersama-sama dengan beberapa pakar Undang-undang Perlembagaan sebelum memanggil persidangan dewan tergempar. Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidangkuasa speaker. Saya telah menerima 2 usul daripada YB Khalil Idham (Titi Serong) dan YB Chang Li Kang (Teja) yang memerlukan perhatian dewan dengan serta merta. Oleh yang demikian, saya terikat kepada undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya untuk memanggil sidang dewan tergempar untuk membincangkan isu yang dibangkitkan. Ini juga merupakan amalan demokrasi yang perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.


Campurtangan Eksekutif dalam hal-hal lain di Perak:

1) SPR tidak mengiktiraf arahan Speaker untuk mengosongkan 3 DUN di Perak iaitu Changkat Jering, Behrang dan Jelapang di mana ADUN-ADUN kawasan tersebut telah meletak jawatan.

2) Keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan untuk mengantung Dato Seri Zambry dan Barisan EXCO haramnya dipertikaikan, dicabar dan diheret ke mahkamah.

3) Mahkamah campurtangan dalam Kes ‘Lompat Katak’ dan Kes Dato Seri Zambry walaupun Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan berbuat demikian.

4) Penasihat Undang-undang Negeri menafikan hak Speaker untuk mendapat bantuan guamannya sendiri. Beliau mahu mewakili Speaker walaupun ianya ditolak oleh Speaker sendiri. Malah Mahkamah juga tidak mahu memberi kebenaran kepada Speaker untuk mewakili diri sendiri.

5) Polis campurtangan dalam isu dewan dengan alasan menyiasat laporan polis dibuat terhadap Spaeker.

6) SPRM juga telah menjalankan siasatan terhadap Speaker dan secara terus campurtangan dalam urusan pentadbiran Dewan Negeri

7) Pihak Eksekutif kuasa Speaker untuk memanggil persidangan Dewan Negeri pada 3 Mac2009 dan Ahli-ahli Dewan Negeri terpaksa bersidang di bawah pokok.

8) Setiausaha Dewan Negeri tidak mahu mengikut arahan Speaker, malah beliau menafikan kuasa Speaker untuk memanggil dewan bersidang. Beliau sendiri membuat sidang media atas arahan Setiausaha Kerajaan Negeri

9) Polis disalahgunakan untuk menghalang Ahli-ahli Dewan Negeri bersidang di Dewan yang Mulia Pada 3 Mac 2009.

10) Perlantikan MB dan EXCO baru dibuat tanpa undi tidak percaya di Dewan Negeri. Ini merupakan satu bentuk penghinaan dewan yang serius.

11) Tarikh dan masa persidangan 7 Mei 2009 ditetapkan oleh eksekutif tanpa pengetahuan Speaker.

12) Eksekutif menghalang orang awam, media dan ahli-ahli Parlimen menghadiri persidangan 7 Mei 2009. Ini merupakan campurtangan eksekutif dalam tugas Speaker.

13) Setiausaha Kerajaan Negeri megawal penuh perjalanan persidangan 7 Mei 2009. Kuasa Spaeker dinafikan sama sekali.

14) Penasihat Undang-undang Negeri tidak mahu ikut arahan Speaker dalam Persidangan 7 Mei 2009.

15) Bentara dan kakitangan dewan tidak mahu mengikut arahan Speaker.

16) 10 orang ahli Dewan yang dihalau keluar oleh Speaker juga tidak mahu mengikuti arahan. Mereka berdegil tidak mahu keluar dari dewan.

17) Polis menceroboh masuk ke dalam Dewan untuk mengheret Speaker keluar dari kerusinya.

18) Polis mengurung Speaker dalam Stor untuk lebih kurang satu jam. Dewan dikendalikan oleh seorang Speaker haram yang dilantik dengan bantuan pihak eksekutif.

19) Pihak SUK menghalang Speaker yang sah untuk menggunakan pejabatnya dan menghilangkan semua keistemewaannya dengan serta merta.

20) Menghalang Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk bermesyuarat di Bangunan SUK.

21) Setiausaha Kerajaan Negeri menghalang Speaker untuk memanggil persidang pada 2 September 2009. Dewan terpaksa bersidang di hotel kerana dihalang oleh Polis dan samseng.

22) Mahkamah Tinggi Ipoh membuat penghakiman siapakah Spaeker yang sah walaupun ianya tidak diminta oleh oleh Plainif dalam kesnya memohon satu injunksi terhadap Speaker haram.

23) Mahkamah melambat-lambatkan kes Dato Seri Nizar vs Dato Seri Zambry dan Kes Speaker vs SPR.

24) Polis sekali lagi campurtangan dalam urusan dewan pada 28 Oktober 2009 apabila ia merampas songkok dan jubah speaker.

25) Bajet diluluskan oleh eksekutif di dalam dewan dalam tempoh masa 20 minit tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perintah-perintah tetap Dewan Negeri Perak.

26) Kes Ketua-ketua kampung di Perak telah dibuang oleh Mahkamah Tinggi dengan alasan ia tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kerana adalah keputusan politik pihak eksekutif. Ini membuktikan adanya ‘tangan hitam’ yang telah menggangu keputusan tersebut.


Melihatkan perkembangan ini, memang kena pada tempatnya apabila Zunar Kartunis menyimpulkan episod-episod ini sebagai ‘Perak Darul Kartun’.


Di Malaysia, boleh dikatakan semua anggota Eksekutif yakni kabinet adalah juga anggota Legislatif sama ada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Jelas tiada pengasingan kuasa di sini. Pihak yang membuat undang-undang dan pihak yang melaksanakan adalah golongan yang sama. Dari sudut ini mudah bagi pemerintah yang menguasai badan legislatif untuk mengubal undang-undang yang memberi kepentingan peribadi mahupun kolektif kepada Eksekutif.


Di Malaysia konsep atau teori ini tidak dijalankan secara tegas dan secara menyeluruh kerana badan pemerintahan juga kadang-kadang terlibat dalam kuasa mengubal undang-undang dan badan kehakiman ini dapat dilihat bilamana Perdana Menteri akan memberi nasihat kepada Yang DiPertuan Agong siapa yang layak dilantik sebagai Hakim setelah membincangkannya dengan Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri sebagai ahli Dewan Rakyat juga membolehkan ia membentuk suatu undang-undang bersama-sama menteri yang lain. Seperti yang dinayatakan oleh Ahmad Atory Hussein;

“ walaupun parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang, namun sebahagian besar undang-undang negara itu digubal oleh badan eksekutif, seperti menteri di kementerian tertentu. ..... Sebagai sebuah negara persekutuan, kuasa dibahagi-bahagikan kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri . Ini dilihat bilamana parlimen mempunyai kuasa untuk mengubal undang-undang persekutuan, manakala Dewan undangan Negeri pula mempunyai peruntukan dari segi mengubal undang-undang bagi negeri berkenaan. Walau bagaimanapun, sekiranya percanggahan antara undang-undang bagi negeri dan undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan adalah dipakai dan undang-undang negeri itu akan terbatal setakat yang bercanggah dengan undang-undang persekutuan .”

Di Malaysia, Menurut Perkara 4, Fasal 1, badan Kehakiman boleh mengisytiharkan sesuatu Akta Parlimen bercanggah dengan Perlembagaan. Ini bermakna apa-apa undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan boleh diketepikan oleh Mahkamah dengan alasan ianya tidak sah ataupun ultra vires. Perkara ini ada baik, ada buruknya. Walau bagaimanapun perkara ini tidak sering berlaku di Malaysia. Selagi undang-undang itu berpihak kepada BN tidak pernah ianya dipersoalkan dan ditiadakan undang-undang tersebut.


Pada masa yang sama, dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, termaktub peruntukan bahawa perlantikan kehakiman ke mahkamah-mahkamah tertinggi adalah dibuat oleh pihak eksekutif. Ini menunjukkan bahawa adanya kawalan tidak langsung pihak eksekutif terhadap badan kehakiman di negara ini.

Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekuuan

(1) Hakim-hakim ……hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.


Peruntukan ini memberi kuasa yang cukup besar kepada Perdana Menteri iaitu ketua badan eksekutif untuk melantik hakim-hakim pilihannya di dalam cabang kehakiman. Ini dengan sendirinya akan melemahkan kredibiliti dan integriti hakim-hakim yang seharusnya bebas, adil dan tidak berpihak kepada sesiapa. Keneutralan badan kehakiman telah terjejas apabila Perdana Menteri diberi kuasa untuk memberi nasihat dalam hal perlantikan hakim-hakim kepada Yang di-Pertuan Agong. Inilah satu daripada faktor utama kenapa badan kehakiman semakin bercelaru kebelakangan ini.


Tambahan pula, Perkara 125 (3), Perlembagaan Persekutuan menguatkan lagi pengaruh Perdana Menteri terhadap badan kehakiman.


Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan

(3)Jika Perdana Menteri…..merayu kepada Yang Dipertuan Agong menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Persekutuan patut dipecat, maka Yang Dipertuan Agong hendaklah melantik suatu tribunal mengikut fasal (4) dan merujukkan rayuan itu kepadanya, dan atas syor tribunal itu, Yang Dipertuan Agong boleh memecat hakim itu daripada jawatannya.

Kebebasan badan kehakiman dalam negara Malaysia telah sekian lama dicabul oleh pihak Eksekutif khas sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamad melalui tragedi peristiwa hitam pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dan beberapa orang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang lain pada tahun 1988.

Kepincangan badan kehakiman berkemuncak dengan pendedahan rakaman video klip Dato’ V.K Lingam yang memaparkan bagaimana badan kehakiman nyata terdedah kepada pengaruh dan campurtangan langsung orang-orang yang berkepentingan dan berpengaruh untuk menentukan pelantikan hakim-hakim. Adakah tindakan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam salahlaku mempergaruhi perlantikan hakim-hakim sepertimana yang diperakui dalam laporan Suruhanjaya Siasatan. Perkara ini amat serius kerana perbuatan mereka ini yang menjadikan badan kehakiman negara sebagai bahan ketawa dan penghinaan bukan sahaja di dalam negeri malahan di peringkat antarabangsa.

Satu contoh terbaru camprtangan pihak eksekutif dalam urusan kehakiman ialah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Nazri Aziz. Beliau memberikan jawapan bagi pihak Ketua Hakim Negara berkenaan isu hangat pendedahan rakaman video oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, beliau mengumumkan penafian bagi pihak Ketua Hakim Negara berhubung pendedahan ‘pita Lingam’ kerana beliau adalah menteri yang menjaga portfolio undang-undang.


“Saya menteri beliau. Saya menteri yang menjaga hal ehwal mengenai perundangan,” katanya. Bukankah kenyataan ini dengan jelas membuktikan adanya campurtangan eksekutif dalam urusan penghakiman? Apakah doktrin ini hanya sekadar bunga penyeri di dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan untuk amalan di bawah indikator demokrasi berparlimen? Menteri ini tidak faham asas doktrin ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, doktrin pengasingan kuasa yang membabitkan tiga cabang kerajaan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman adalah berkesan di negara ini, Beliau berkata, pengasingan kuasa itu menyebabkan kes-kes yang dijalankan di mahkamah tidak akan dicampuri mana-mana pihak dan terdapat kes yang langsung tidak memihak kepada eksekutif. Adakah ini benar?

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Karpal Singh yang inginkan penjelasan bahawa Mahkamah Persekutuan pada 2007 memutuskan bahawa doktrin pengasingan kuasa tidak berlaku di negara ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan YB Nurul Izzah Anwar mengenai rasional meletakkan Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen di bawah kuasa Pejabat Peguam Negara, Mohamed Nazri berkata, ia sebenarnya terletak di bawah tanggungjawab Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan."Pejabat Ketua Pendaftar ini terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab mentadbir mahkamah di seluruh negara merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah (Majistret dan Sesyen). Ini bermakna, badan kehakiman di setiap peringkat dari atas hingga ke bawah jelas menjadi subordinat kepada Kementerian.

Badan Kehakiman merupakan salah satu daripada tiga cabang utama dalam pemerintahan yang berteraskan sistem demokrasi berparlimen yang seharusnya bebas daripada pengaruh dan campurtangan eksekutif.

Pada 15 Mei 2008, mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim telah mengemukakan deraf cadangan bertulis mengenai penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kepada pelbagai pihak termasuk pihak pembangkang melalui Ketua Pembangkang ketika itu Datin Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail bagi mendapatkan maklum balas.

Deraf yang dikemukakan oleh mantan Menteri Dato’ Zaid Ibrahim dengan jelas menyatakan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berpaksi kepada komitmen Kerajaan kepada sistem kehakiman yang bebas daripada campur tangan kuasa Eksekutif mahupun mana-mana pihak yang lain yang mungkin mempengaruhi proses pelantikan kehakiman.

Perakuan yang dipertegaskan oleh beliau menyebut bahawa proses yang diamalkan sekarang tidak memperuntukkan cara yang telus yang mengambil kira pandangan pihak yang berkaitan (stakeholders) bagi tujuan mengenal pasti dan memilih calon yang layak dan sesuai untuk dilantik sebagai hakim.

Sistem yang diamalkan sekarang mungkin memberi ruang kepada umum untuk mendakwa bahawa sistem ini kurang telus dan kurang akauntabiliti pada pihak yang terlibat…Akibatnya sistem yang diamalkan sekarang berkemungkinan terbuka untuk disalahgunakan.

Ketua Pembangkang ketika itu telah mengemukakan secara rasmi maklum balas kepada Kerajaan mengenai beberapa pendirian prinsip mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Pendirian prinsip yang dikemukakan oleh pihak pembangkang ketika itu menggariskan keperluan untuk menjadikan Pernyataan Beijing (Beijing Statement) mengenai Prinsip-Prinsip Kebebasan Kehakiman bagi rantau LAWASIA sebagai sumber rujukan.

Pembangkang juga mengesyorkan rujukan kepada Prinsip-Prinsip Komanwel (Latimer House) untuk memastikan pengukuhan doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif, Badan Kehakiman dan Badan Legislatif serta keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan perlu dipinda untuk memaktubkan kembali bahagian berkenaan Perkara 121(1) kepada bentuknya yang asal dimana kuasa kehakiman dikurniakan tanpa sebarang sekatan di mahkamah-mahkamah tertinggi.

Peruntukan yang tertera dalam Perkara 121(1) sekarang yang memperuntukkan bahawa mahkamah-mahkamah tertinggi mempunyai bidang kuasa yang tertakluk di bawah undang-undang persekutuan adalah tidak bersesuaian dan bertentangan dengan prinsip asas doktrin pengasingan kuasa.

Pengasingan kuasa ini harus jelas tidak menjejaskan kebebasan dan kewibawaan badan kehakiman daripada dipengaruhi dan tunduk kepada tekanan Eksekutif.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 yang dikemukakan dalam Dewan yang mulia ini ternyata masih belum berupaya melepaskan dirinya daripada pengaruh dan campur tangan Eksekutif.

Sejauhmanakah ianya tidak terdedah kepada campur tangan Eksekutif khasnya Perdana Menteri?

Mengamati peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam rang undang-undang ini, kuasa yang begitu luas lagi mutlak akan diperuntukkan kepada Perdana Menteri dalam banyak perkara.

Meskipun dalam amalan sistem demokrasi Westminster, Perdana Menteri mempunyai prerogatif dalam pelbagai pelantikan termasuk hakim-hakim, namun ianya tidak seharusnya begitu mutlak dan terlalu dominan sehingga mesti diakur oleh sesiapa jua.

Peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 ini masih kabur untuk mencegah dan menghalang campur tangan Eksekutif khasnya Perdana Menteri terhadap kebebasan badan kehakiman.

Apa yang terserlah sebenarnya daripada rang undang-undang ini ialah satu percubaan memperalatkan Dewan yang mulia ini untuk memberi legitimasi kepada campur tangan dan dominasi Perdana Menteri terhadap badan kehakiman dan pentadbiran keadilan negara ini. Rang undang-undang ini hanya menginstitusikan cengkaman Eksekutif terhadap badan kehakiman. Campur tangan dan dominasi ini harus ditentang.

Rang undang-undang ini rapuh kerana tiada pindaan dilakukan ke atas Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan untuk memperkukuhkan doktrin pengasingan kuasa dan mengembalikan kebebasan dan kewibawaan badan kehakiman negara.

Tanpa pindaan Perlembagaan untuk memperkukuhkan kebebasan, kewibawaan dan martabat badan kehakiman negara, rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ini tidak mempunyai pengertian yang mampu menjamin kebebasan dan kewibawaan badan kehakiman.

Ini adalah kerana tidak terdapat apa-apa jaminan yang ianya tidak akan terdedah kepada pencabulan dan campur tangan Eksekutif selama mana kuasa Perdana Menteri masih membayangi urusan pelantikan hakim-hakim.

Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa kelakuan seseorang hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen. Manakala menurut Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah. Adakah kedua-dua Perkara ini digunapakai secara mutlak?

Kuasa eksekutif bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang Dipertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankon olehnya atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain. Disini terdapat juga unsur-unsur campurtangan pihak legislative dalam hal urusan pihak eksekutif. Dari situ dapatlah kita secara kasar menjelaskan bahawa kuasa eksekutif kini boleh dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik. Tapi pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan atas nama 'Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong'.

Pada masa darurat, kuasa Eksekutif boleh dijalankan oleh orang tertentu yang diberi kuasa menurut Perlembagaan (Perkara 150). Contohnya bila tercetusnya pertelingkahan kaum 13 Mei, kuasa eksekutif dijalankan oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Pengerusi MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) ketika itu. Pada ketika inilah juga pemusatan kuasa berlaku yang mana badan Legislatif dan Kehakiman kehilangan kuasa dan ianya satu-satu masa yang mana Doktrin Pengasingan Kuasa diketepikan sepenuhnya untuk satu tempoh tertentu.


Kesimpulan


Jika doktrin pengasingan kuasa ini diketepikan langsung, penyalahgunaan kuasa adalah suatu kemungkinan dan amat merugikan rakyat.

Perubahan yang kita anjurkan seharusnya mencakupi aspek luas termasuk pengasingan jelas badan eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ia akan mempastikan pertanggungjawaban. Dan dalam konteks ini ia seharusnya selari untuk memberikan kuasa kepada rakyat memilih wakil mereka diperingkat akar umbi termasuk kerajaan tempatan.

Selain dilindungi kebebasannya, badan kehakiman harus berwibawa serta tidak tergugat dari segi keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan kewibawaannya.

Jika kebebasan badan kehakiman dicabuli, kewibawaannya dipertikaikan dan keyakinan rakyat terhadapnya terjejas, maka sistem keadilan kita menjadi pincang dan kedaulatan undang-undang [rule of law] menjadi ranap merudum, justeru rakyat jelata terdedah kepada penindasan, kezaliman dan salahguna kuasa pemerintah tanpa pembelaan menurut hukum dan nilai-nilai keadilan.

Peri pentingnya peranan badan kehakiman yang bebas dan berwibawa sememangnya menjadi keperluan dan tuntutan sejagat, lebih-lebih lagi dalam soal menegakkan keadilan bagi yang dhaif dan lemah dalam menghadapi salahguna kuasa dan keangkuhan pihak yang berkuasa. Sehubungan dengan itu, izinkan saya memetik pendirian yang dinukilkan dalam satu kes di India iaitu C Ravichandan Iyer v Justice AM Bhattacharje & Ors [1995], dimana Mahkamah Agong India [Indian Supreme Court] menyatakan:

“The judiciary stands between the citizens and the State as a bulwark against executive excesses and misuse of powers by the executive. It is, therefore, absolutely essential that the judiciary must be free from executive pressure or influence which has been secured by making elaborate provisions in the Constitution with details. The independence of judiciary is not limited only to the independence from the executive pressure or influence; it is a wider concept which takes within its sweep independence from any other pressure and prejudices.”

Bukan sahaja campurtangan eksekutif menggangu gugat pihak kehakiman, malah pihak legislative juga tidak terlepas. Ini dapat dilihat daripada gelagat Speaker Dewan Rakyat yang sentiasa memihak kepada pihak kerajaan. Speaker dewan rakyat adalah conto ‘pak turut’ yang paling ideal di negara ini. Pihak eksekutif menjadikan Speaker sebagai boneka untuk mencapai hasrat yang ingin dicapai oleh mereka. Agenda Dewan Rakyat adalah agenda eksekutif. Semuanya berfungi mengikut telunjuk eksekutif. Dewan Rakyat tidak terlepas daripada pengaruh eksekutif. Tambahan pula, nampak jelas bahawa Speaker Dewan Rakyat terikat dengan ‘political master’nya iaitu kerajaan BN yang seringkali campurtangan dalam hal-ehwal Dewan Rakyat. Satu contoh yang nyata ialah Usul-usul penting yang dibawa oleh pembangkang seringkali ditolak oleh Speaker dengan pelbagai alasan perundangan dan berdasarkan perintah-perintah tetap. Ini adalah semata-mata untuk membantu kerajaan BN dalam Isu yang dibangkitkan melalui usul. Ini terbukti bahawa Speaker yang menjadi Pengerusi Dewan diperkudakan oleh BN. Tindakan ini menindas pihak pembangkang yang ingin membawa isu rakyat dengan segera kepada perhatian dewan.

Begitu juga di Kedah, pihak eksekutif campurtangan dalam keputusan Speaker yang mengosongkan kerusi DUN kerana wakil rakyat tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut. SPR tidak mahu mengadakan pilihanraya di Kedah dengan memberi pelbagai alasan. Akhirnya kes ini dicabar di Mahkamah dan keputusan berpihak kepada Speaker Kedah. Dengan serta merta pihak SPR telah mendapat ‘stay order’ daripada mahkamah dan sampai ke hari ini tidak ada perkembangan dalam kes ini. Bukankah ini jelas bahawa pihak eksekutif gunapakai mahkamah untuk kepentingan politik mereka? Keadaan yang sama juga berlaku dalam kes Dato Seri Nizar.

Setelah Dato Seri Nizar diisytiharkan sebagai MB Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi, tidak sampai 24 jam keputusan telah dibuat semula untuk menyerahkan jawatan itu kepada Dato Seri Dr. Zambry buat seketika. Kes kemudiannya berlangsung pada 5 November 2009 dan sehingga kini belum lagi mendapat tarikh dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu yang dibangkitkan.

Seluruh rakyat Malaysia sedang menanti keputusan Mahkamah Persekutuan. Tetapi, ia membawa kekecewaan terhadap sistem yang sedia ada. Isu ini juga menampakkan lagi Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan diktator yang sentiasa penuh dengan ketidakadilan yang berpanjangan.Mereka membelakangkan rakyat yang ada dengan menidakkan hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka terutamanya kepada negeri Perak. Mereka menolak suara rakyat dengan melakukan sewenang-wenangnya tindakan yang memalukan negara dengan mempertahankan kerajaan boneka mereka di negeri Perak tanpa menghormati suara majoriti rakyat negeri Perak.

Kuasa eksekutif telah berleluasa dan cuba mempengaruhi cabang legislatif dan kehakiman di negara ini. Kuasu itu perlu kawal. Jika tidak ia akan memusnahkan seluruh negara. Akhirnya rakyat menderita. Pemusatan kuasaya yang terlampau akan melumpuhkan kesuruhan sistem pentadbiran negara ini. Kita harus ingat ‘Power corrupts, absolute power corrupts absolutely”. Kekuasaan yang melampau akan mewujudkan gejala-gejala negatif yang lain seperti rasuah dan jenayah. Kalau ditelitikan memang kadar peningkatan rasuah ada kena mengena dengan pemusatan kuasa. Contonnya kes PKFZ, Skandal Maika Holdings, Skandal Pembelian Kapal Selam. Antara kes-kes jenayah yang tidak mendapat pengadialan yang sewajarnya akibat pemusatan kuasa yang terlampau kepada pihak eksekutif ialah Teoh Beng Hock, Kugan, Altantuya, Sujatha, Balasundram dan banyak lagi. Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat sebagai ‘the government in waiting’ seharusnya mencari jalan penyelesaian yang ideal untuk menyuburkan konsep pengasingan kuasa dan ‘check and balance’ di negara ini.

Keadilan intinya adalah meletakkan segala sesuatunya pada tempatnya. Ahli falsafah unggul Plato pernah membantah seorang ahli falsafah muda, Thrasymachus, kerana beliau menyatakan bahawa ‘keadilan’ adalah apa pun yang ditentukan oleh si terkuat. Tetapi, nampaknya di Malaysia teori Thrasymachus mula mendapat tempat dan dipraktikkan secara terbuka. Keadilan diabaikan semata-mata untuk terus berkuasa. Ini dapat dilihat didalam konteks negeri Perak, bagaimana Barisan Nasional menggunakan kekejaman dan kekerasan dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Tambahan pula, Mahkamah juga tidak menunjukkan minat dalam menyelesaikan krisis politik ini dengan serta merta.



Sebagai akhir kata, Pakatan Rakyat sudah mula berganjak menuju ke Putrajaya. Untuk mencapai aspirasi ini, Keutuhan perhubungan diantara komponen parti-parti Pakatan Rakyat adalah sangat penting. Di Perak hubungan diantara DAP, PAS dan PKR adalah sangat erat. Lebih erat daripada sebelum 8 Mac 2008. Selepas krisis Perak bermula, hubungan dan keakraban kami menjadi semakin kukuh. Dulu kami berpegang, kini kami berpeluk. Inilah pencapaian Pakatan Rakyat yang terunggul dan dibanggakan oleh kami di Negeri Perak. Harap hubungan yang sama dijadikan sebagai model oleh DAP, PAS dan PKR di semua negeri-negeri lain di seluruh Malaysia. Selamat bertapak di Putrajaya.

Salam Perpaduan , Salam Reformasi, Hidup Rakyat

Sekian terima kasih.

Rabu, 16 Disember 2009

Ketidakadilan Akan Membawa Kehancuran




Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Ipoh

Ketidakadilan Akan Membawa Kehancuran

Rakyat masih menunggu keputusan Mahkamah Persekutan untuk mengetahui siapakah Menteri Besar Perak yang sah. Perbicaraan telah selesai pada 5 November 2009. Hakim-hakim yang mendengar perbicaraan itu telah menangguhkan keputusan mereka pada satu tarikh yang belum ditentukan. Sekarang sudah hampir sebulan setengah tetapi tarikh pengumuman keputusan hakim-hakim tidak disebut-sebut lagi. Kenapa wujudnya kelewatan dalam mengumumkan keputusan tersebut? Perkara ini menimbulkan banyak persoalan-persoalan kontroversi yang boleh menggugatkan kredibiliti badan kehakiman di negara ini. Tambahan pula, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ianya mesti nampak dilaksanakan.

Keadilan merupakan kondisi kebenaran yang ideal secara moral mengenai sesuatu hal. Menurut sebagian besar teori, keadilan memiliki tingkat kepentingan dan implikasi yang besar dalam pemerintahan sesebuah negara. John Rawls, seorang ahli falsafah politik Amerika Syarikat yang terkemuka abad ke-20, menyatakan bahwa "Keadilan adalah ‘kelebihan’ pertama dari institusi sosial. Oleh itu, semua institusi awam termasuk kehakiman perlu memberi keutamaan kepada prinsip keadilan. Jika prinsip ini tergadai, maka hancurlah segala struktur atau organisasi yang memerintah sesebuah negara.

Ketidakadilan harus dilawan dan dihukum. Jika perkara ini berterusan, banyak gerakan sosial dan politik akan berjuang menegakkan keadilan. Jika kita mengimbas sejarah dunia, ketidakadilan akan membawa kepada kepincangan. Banyak juga kerajaan dan dinasti yang kuat retak dan akhirnya hancur kerana tidak menghormati prinsip-prinsip keadilan.

Keadilan intinya adalah meletakkan segala sesuatunya pada tempatnya. Ahli falsafah unggul Plato pernah membantah seorang ahli falsafah muda, Thrasymachus, kerana beliau menyatakan bahawa ‘keadilan’ adalah apa pun yang ditentukan oleh si terkuat. Tetapi, nampaknya di Malaysia teori Thrasymachus mula mendapat tempat dan dipraktikkan secara terbuka. Keadilan diabaikan semata-mata untuk terus berkuasa. Ini dapat dilihat didalam konteks negeri Perak, bagaimana Barisan Nasional menggunakan kekejaman dan kekerasan dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Tambahan pula, Mahkamah juga tidak menunjukkan minat dalam menyelesaikan krisis politik ini dengan serta merta.

Keadilan adalah sesuatu yang benar, sikap yang tidak memihak, penjagaan hak-hak seseorang dan cara yang tepat dalam membuat keputusan atau penghakiman

Apakah gunanya kita bercakap tentang 'the rule of law' atau pemerintahan berasaskan
undang-undang, hak kemanusiaan dan demokrasi jika pemimpin-pemimpin negara tidak lagi menghormati prinsip-prinsip keadilan yang asas.

Setelah Dato Seri Nizar diisytiharkan sebagai MB Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi, tidak sampai 24 jam keputusan telah dibuat semula untuk menyerahkan jawatan itu kepada Dato Seri Dr. Zambry buat seketika. Kes kemudiannya berlangsung pada 5 November 2009 dan sehingga kini belum lagi mendapat tarikh dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu yang dibangkitkan.

Seluruh rakyat Malaysia sedang menanti keputusan Mahkamah Persekutuan. Tetapi, ia membawa kekecewaan terhadap sistem yang sedia ada. Isu ini juga menampakkan lagi Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan diktator yang sentiasa penuh dengan ketidakadilan yang berpanjangan.Mereka membelakangkan rakyat yang ada dengan menidakkan hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka terutamanya kepada negeri Perak. Mereka menolak suara rakyat dengan melakukan sewenang-wenangnya tindakan yang memalukan negara dengan mempertahankan kerajaan boneka mereka di negeri Perak tanpa menghormati suara majoriti rakyat negeri Perak.


V.Sivakumar
16 Disember 2009

Selasa, 15 Disember 2009

Amalan Demokrasi Semakin Kabur di Malaysia


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Lenggong
------------------------------------------

Demokrasi Semakin Kabur di Malaysia

PAS telah menganjurkan satu ceramah politik krisis Perak di Kampung Gua Badak, Lenggong pada 14 Disember 2009. Lebih daripada 1000 orang telah menghadiri ceramah tersebut. Penceramah-penceramahnya ialah YDP PAS Kawasan Lenggong Tuan Hajji Razman Zakaria, YB Drs Khalil Idham Lim ADUN Titi Serong dan YB V.Sivakumar ADUN Tronoh. Yang turut hadir ialah Sdr Wong Sauk Long, Pengerusi cawangan DAP Air Kala.

Dalam Ucapannya, YB V.Sivakumar menekankan bahawa demokrasi di Malaysia semakin kabur. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak lagi menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan kekuasaan rakyat. Demokrasi dan sistem pengasingan kuasa tergadai dalam kerakusan pemimpin-pemimpin mengejar pangkat dan kuasa. Ini jelas dapat dilihat dalam senario negeri Perak. Bagaimanakah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditumbangkan? Barisan Nasional tidak menggunakan kaedah demokrasi untuk membentuk kerajaan baru di negeri Perak. Malah mereka telah menggunakan kekerasan yang bertentangan dengan demokrasi untuk kembali berkuasa di Perak.

Pilihanraya tidak dibuat untuk mendapat mandat baru daripada rakyat. Malah amalan ‘lompat katak’ telah dijadikan asas untuk membentuk kerajaan yang baru di Perak. Budaya ‘lompat katak’ adalah tidak sealiran dengan amalan demokrasi yang mengutamakan suara majoriti. Keputusan seharusnya dibuat oleh pengundi-pengundi dan bukannya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Tindakan ‘lompat katak’ bukanlah hasrat pengundi-pengundi tersebut. Itu adalah kemahuan wakil rakyat yang bertentangan dengan kemahuan pengundi di kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Pengundi di ketiga-tiga kawasan itu telah memilih wakil rakyat daripada parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Mereka telah terang-terang menolak Barisan Nasional dalam pilihanraya yang lalu.

Apabila wakil rakyat ‘lompat katak’, maka pengundi-pengundi di ketiga-tiga kawasan itu berasa tertipu. Amanah yang diberikan oleh rakyat telah dipecah untuk kepentingan peribadi wakil-wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab. Tindakan wakil rakyat ‘lompat katak’ langsung tidak mempedulikan suara majoriti di kawasan masing-masing. Bukankah ini bertentangan dengan tunggak amalan demokrasi yang asas iaitu ‘suara majoriti’ akan menang.

Jika suara majoriti tidak lagi dihormati, maka sistem demokrasi akan terancam di negara ini. Perkara ini perlu diperbaiki atau diperbetulkan dengan segera. Dewan Negeri Perak perlu dibubarkan dengan serta-merta untuk memberi peluang kepada warga Perak memilih kerajaan baru. Dengan cara ini, tidak lagi timbul isu kerajaan halal dan kerajaan haram di negeri Perak. Kemelut politik Perak dapat diselesaikan dan tumpuan boleh diberikan kepada kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat. Jika tidak, kemelut ini akan terus berpanjangan dan akhirnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

V.Sivakumar
15 Disember 2009