Sabtu, 14 April 2012

SPRM Perlu Dedahkan Hasil Siasatan Isu Tanah Pertanian di Bakap


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh, pada 13/4/2012 di Batu Gajah


SPRM Perlu Dedahkan Hasil Siasatan  Isu Tanah Pertanian di Bakap

Seramai enam belas keluarga petani dan penternak membuat laporan SPRM di Ipoh  pada  19/12/2011. Mereka telah memberi maklumat awal kepada SPRM berhubung dengan masalah tanah pertanian mereka di kawasan Bakap, Mukim Sungai Terap.  Kawasan ini berhampiran dengan Kinta Kellas, Jalan Gopeng. Petani-petani dan penternak-penternak ini mengusahakan tanah seluas lebih kurang 80 ekar ini selama lebih kurang 10 tahun. 

Mereka telah membersihkan belukar di kawasan itu untuk dijadikan tapak pertanian dan penternakan mereka. Kegiatan ini merupakan satu-satunya  sumber pendapatan untuk keluarga mereka. Mereka telah membelanjakan banyak wang untuk membersihkan dan mengusahakan tanah ini. Walaupun mereka mengusahakan tanah ini secara haram, kerajaan harus prihatin terhadap kebajikan mereka. Jika mereka diberi hak tanah untuk kegiatan pertanian, sudah tentu mereka akan melipat gandakan usaha dan meningkatkan lagi modal. Ini akan memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri.

Sebelum berpindah ke kawasan itu, mereka menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian di satu kawasan yang bersebelahan selama beberapa tahun. Mereka mengalami kerugian besar apabia mereka dipaksa untuk keluar dari tanah yang mereka usahakan. Selepas tanah itu telah diambil alih oleh Maju Perak, mereka terpaksa mencari tanah baru untuk diteroka. Mereka telah membersihkan hutan dan menanam modal beribu-ribu ringgit untuk membuka tanah pertanian baru di Bakap.  

Selepas berpindah dan melakukan aktiviti pertanian di tanah itu selama beberapa tahun, petani-patani dan penternak-penternak telah membuat keputusan untuk memohon tanah itu daripada kerajaan negeri.  Pada tahun 2009, setiap keluarga telah memohon tanah seluas enam ekar untuk pelbagai aktiviti pertanian seperti menanam sayur-sayuran, menternak ayam, itik,  kambing, lembu, kerbau dan ikan air tawar. 

Apakah status permohonan tanah yang dibuat oleh petani-petani dan penternak-penternak ini? Saya juga telah membangkitkan isu ini di Persidangan Dewan Negeri Perak pada 24/11/2011. Tetapi, tidak dijawap dalam ucapan penggulungan yang dibuat oleh Menteri Besar. Saya memang berhajat untuk membangkitkan sekali lagi isu ini dalam persidangan DUN Perak yang lepas. Malangnya, saya tidak diberi peluang lansung untuk berbahas dalam persidangan kali ini. Maka, perkara ini tidak dapat dibawa untuk perhatian seluruh isi Dewan Negeri Perak.

Walau bagaimanapun, penternak-penternak dan petani-petani kawasan Bakap berhak mengetahui hasil siasatan yang dibuat oleh SPRM mengenai isu tanah itu. Sudah lebih 3 bulan perkara ini dibiarkan untuk menghilangkan kehangatan isu tersebut. SPRM mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan sebarang penyelewengan dalam isu petani-petani dan penternak-penternak ini.

Khamis, 12 April 2012

Pendedahan Samy Mengelirukan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 11/4/2012 di Tronoh

Pendedahan Samy Mengelirukan Rakyat

Datuk Seri Samy Vellu tiba-tiba membuat kenyataan media  bahawa kekalahan beliau di Sungai Siput dalam PRU12 adalah kerana anti kempen yang disusun  oleh Tun Mahathir. Pertama sekali, kenapakah perkara ini tidak dipampang  oleh Datuk Seri Samy Vellu sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihanraya itu? Kedua, kenapakah beliau membuat kenyataan ini selepas 4 tahun selepas PRU 12? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan pacul  yang dibuat oleh beliau.  Saya rasa  cukup yakin bahawa Datuk Seri Samy Vellu sedar bahawa ‘bermain air basah, bermain api letup’.  Oleh yang demikian, kenyataan beliau itu pasti  dibuat selepas berfikir masak-masak  akan akibatnya. 

Walau bagaimanapun kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Samy Vellu telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia. Datuk Seri Samy Vellu menuduh Tun Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab bagi kekalahannya dalam PRU12. Kenapakah Tun Mahathir mahu Datuk Seri Samy Vellu kalah?  Tun Mahathir dan Datuk Seri Samy Vellu dilihat begitu sahabat akrab dan rakan kongsi utama dalam komponen Barisan Nasional. Perkara ini diketahui dan terpahat dalam minda seluruh rakyat Malaysia. Apa pula yang menyebabkan Tun Mahathir membenci  Datuk Seri Samy Vellu sehingga mahu melihat beliau tumbang dalam pilihanraya. Mesti ada sesuatu sebab yang masih belum diketahui oleh rakyat Malaysia.

Oleh yang demikian, Datuk Seri Samy Vellu harus mendedahkan semua perkara-perkara yang disimpan dalam hatinya sebagai rahsia setakat ini. Datuk Seri Samy Vellu telah berani tampil ke hadapan untuk menuduh Tun Mahathir  yang menamatkan ‘riwayat’ politiknya. Tetapi, pendedahan itu tidak cukup kerana tidak ada bukti yang kukuh untuk kenyataan yang dibuat oleh beliau. Datuk Seri Samy Vellu harus membongkarkan sebab-sebab Tun Mahathir mahu  memalitkan dan menumbangkan beliau. Apakah keuntungan bagi Tun Mahathir jika Datuk Seri samy Vellu kalah dalam pilihanraya.

Datuk Seri Samy Vellu juga perlu mendedahkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh Tun Mahathir untuk menumbangkan beliau dalam pilihanraya umum. Ini adalah penting untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa orang yang menghancurkan riwayat politik  seorang Presiden MIC  yang paling berpengaruh ialah Tun Mahathir. Datuk Seri Samy Vellu mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan segala-galanya mengenai orang yang menumbangkan beliau dalam PRU12. 

Kenyataan media Datuk Seri Samy Vellu hanya mengelirukan rakyat dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Maka, beliau perlu menjernih air yang dikeruhkan olehnya beberapa hari yang lalu. Rakyat Malaysia juga berhak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku dalam percaturan politik negara kita sebelum  dan semasa PRU12.

Isnin, 9 April 2012

Pelancaran Bilik Gerakan DAP di Desa Changkat





Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 9/4/2012 di Desa Changkat, Batu Gajah
Pelancaran Bilik Gerakan DAP di Desa Changkat
Pakatan Rakyat DUN Tronoh sedang membuat persediaan awal untuk menghadapi PRU13. Semalam satu program Hi Tea telah diadakan di Desa Changkat yang lebih dikenali sebagai Indian Settlement. Program Hi Tea ini diikuti dengan satu ceramah kelompok untuk menerangkan perkembangan politik semasa. Antara penceramah-penceramah yang hadir untuk memeriahkan program ini ialah YB Sivasubramaniam (ADUN Buntong), YB Kesavan (ADUN Hutan Melintang) dan Sdr Ngoi (Ahli Vateran DAP dan Bekas Ahli Parlimen Kampar).
 Sebagai tuan rumah  V.Sivakumar juga berucap memberi tahu apakah kejayaan dan khidmat beliau kepada penduduk DUN Tronoh. Walaupun hujan, tetapi jumlah orang yang datang melebihi jumlah yang dianggarkan. Pihak penganjur mencadangkan untuk membuat Hi Tea dan ceramah kelompok untuk 100 orang. Tetapi lebih daripada 150 orang penduduk tempatan menghadiri program tersebut. Sokongan penduduk Desa Changkat kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah selepas PRU12. Banyak masalah rakyat telah diselesaikan oleh V.Sivakumar dan Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah  dalam tempoh 11 bulan sewaktu Pakatan Rakyat memerintah. Tetapi, selepas Barisan Nasional merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kawasan Desa Changkat ini telah diabaikan semula.
Penduduk Desa Changkat cukup kecewa dengan Ketua-ketua Bahagian UNMO, MCA dan MIC yang hanya mahu undi mereka tetapi tidak mahu memberi sebarang perkhidmatan dan bantuan kepada mereka. Selain daripada itu, penduduk kawasan ini juga sedar bahawa wakil-wakil  rakyat  Barisan Nasional kawasan DUN Tronoh sebelum ini tidak pernah turun padang untuk membantu rakyat. Batang hdung mereka tidak pernah dilihat oleh penduduk kawasan ini kecuali selepas hari penamaan calon untuk mendapatkan undi. Walaupun kawasan ini pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional sebelum PRU 12, sekarang penduduk kawasan ini sudah celik dan dapat membezakan  pendekatan  seorang wakil rakyat Barisan Nasional dan seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Selepas program Hi Tea dan ceramah kelompok, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir telah melancarkan ‘Bilik Gerakan DAP DUN Tronoh di Desa Changkat’. Ini adalah sebagai persediaan awal untuk menjalankan semua aktiviti-aktiviti kempen pilihanraya di kawasan Desa Changkat. Jentera pilihanraya DUN Tronoh akan menganjurkan pelbagai aktiviti kempen pilihanraya  dan program mesra rakyat di kawasan ini untuk meningkatkan lagi sokongan penduduk Desa Changkat.

Sabtu, 7 April 2012

Penternak Ikan Kui Kampung Baru Bali, Kecewa Dengan Kerajaan Perak

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 7/4/2012 di Batu Gajah.


Penternak Ikan Kui Kampung Baru Bali,Kecewa Dengan Kerajaan Perak

Negeri Perak menghasilkan bekalan terbesar ikan negara, baik untuk makanan begitu juga ikan hiasan. Adakah kerajaan negeri memberi sokongan secukupnya untuk penternak-penternak ikan? Mereka memerlukan bantuan, sokongan dan dokongan daripada kerajaan negeri. Apa gunanya kita hanya memberi statistik yang membanggakan tetapi tidak ada inisiatif kerajaan untuk membantu penternak-penternak ikan ini.
Penternak-penternak ikan hiasan tidak dibantu oleh kerajaan untuk mengiatkan lagi perusahaan ini. Penternak-penternak ikan hiasan di Tronoh, Sungai Siput, Gopeng dan beberapa tempat yang lain tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri. Malah kerajaan negeri sering kali menjadi penghalang dan sentiasa memberi masalah kepada penternak-penternak ini. Tanah dan kolam yang diusahakan oleh penternak-penternak ini diberi milik kepada pihak ketiga. Kemudian penternak-penternak ini diberi tekanan dan dihalau dari kawasan yang diusahakan oleh mereka. 

Saya rasa sedih melihat penternak-penternak ikan kui di Kampung Baru Bali, Tronoh. Produk ikan kui dari Kampung Baru Bali mempunyai gred atau kualiti yang cukup tinggi untuk pasaran antarabangsa. Setahu saya tidak ada apa-apa bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak kepada penternak-penternak ikan kui ini. Pencapaian dan kemajuan yang dicapai oleh mereka setakat ini adalah hasil daripada titik peluh sendiri.
Mereka telah membuat permohonan tanah kolam bebarapa tahun yang lalu tetapi sehingga hari ini tidak ada maklum balas yang positif daripada kerajaan negeri. Jika tanah kolam itu diberi milik kepada penternak-penternak ini, maka perusahaan ini dapat digiatkan lagi oleh mereka. Penternak-penternak ini akan menanam lebih banyak modal dan membawa masuk teknologi moden untuk meningkatkan lagi kuantiti dan kualiti produk mereka.  

Pada zaman pemerintahan Pakatan Rakyat mereka hampir mendapat kelulusan. Tetapi, selepas rampasan kuasa berlaku di Perak, permohonan mereka ini telah diabaikan semula. Kerajaan negeri tidak ada niat untuk membantu golongan penternak ikan kui ini. Saya juga mendapat maklumat bahawa pihak-pihak lain mula mendapat hak milik tanah di kawasan itu. Ini bermaksud penternak-penternak Kampung Baru Bali telah dianiyaya oleh kerajaan dengan memberi hak milik tanah kepada orang-orang lain yang langsung tidak mempunyai kepentingan di atas tanah itu.

Bila Nak Berhenti Bohong?


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 6/4/2012 di Batu Gajah

Bila Nak Berhenti Bohong?

Budaya BN memperdayakan masyarakat India masih tidak berhenti lagi. Walaupun masyarakat India telah memberi satu pengajaran kepada BN dalam PRU12, tetapi mereka masih tidak berubah. BN tetap memberi janji-janji kosong untuk menipu masyarakat India semata-mata untuk mendapat undi mereka. Saya telah mengeluarkan satu kenyataan media mengenai isu sekolah Tamil di Jelapang 2 minggu yang lepas. Setakat ini tidak ada apa-apa maklum balas daripada kerajaan negeri mahupun MIC negeri Perak mengenai isu yang dibangkitkan. Saya difahamkan bahawa ada pemimpin-pemimpin MIC telah menjanjikan pembinaan sebuah sekolah Tamil di DUN Jelapang.  Adakah ini benar?

Jika kenyataan ini adalah benar, di manakah lokasi tanah yang telah dikenal pasti untuk membina sekolah Tamil itu di Jelapang? Adakah pihak yang mengeluarkan kenyataan itu telah membuat permohonan untuk tanah yang dikenal pasti itu? Jika ya, apakah status permohonan tersebut?

Setahu saya tidak ada apa-apa permohonan tanah dibuat oleh mana-mana pihak untuk membina sekolah Tamil di Jelapang.  Ini adalah satu pembohongan besar  yang dibuat oleh pemimpin BN untuk meraih undi masyarakat India di kawasan ini. 

Memang DUN Jelapang memerlukan sebuah sekolah Tamil. DUN Jelapang mempunyai 23% pengundi orang-orang India. Peratusan ini membuktikan bahawa terdapat jumlah isi rumah kaum India yang agak ramai di kawasan ini. Kanak-kanak di kawasan ini terpaksa pergi ke jauh lebih kurang 10km untuk sekolah Tamil yang paling hampir. Saya memang bersetuju dengan cadangan membina sebuah sekolah Tamil di Jelapang. Tetapi, apa yang dijanjikan oleh BN adalah sekadar ‘menanam tebu di bibir’. Saya meminta masyarakat India di kawasan DUN Jelapang  supaya jangan terpedaya dengan janji-janji pilihanraya BN.

Isnin, 2 April 2012

PENTERNAK SUNGAI GALAH DIHALAU

JAMUAN MAKAN MALAM DAP DUN TRONOH 3/4/2012 120 MEJA

MESYUARAT PIBG MENJADI PENTAS POLITIK

Benarkah Najib Menawarkan 1000 Tempat Matrikulasi Untuk Pelajar-pelajar India?

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 1/4/2012 di Jelapang

Benarkah Najib Menawarkan  1000 Tempat Matrikulasi Untuk Pelajar-pelajar India?

Pendana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan 1000 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India untuk sesi 2012/2013. Beliau mengumumkan hal  ini di program sambutan ponggal yang diadakan di Kapar pada 26/2/2012. Adakah pengumuman beliau itu benar dan ikhlas? Saya risau ini juga akan menjadi satu lagi janji kosong Barisan Nasional selepas pilihanraya. Saya tidak mahu Barisan Nasional menipu masyarakat India lagi. Jika benar apa yang dijanjikan oleh Najib, beberapa persoalan perlu dijawab berhubung dengan perkara ini. 

Pertama sekali, adakah pemberian 1000 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India ini telah dibincang dan diluluskan di dalam mesyuarat Kabinet? Jika ya, bilakah ia diluluskan?

Kedua, kenapakah perkara ini tidak diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga hari ini. Belaiu sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya membuat pengumuman rasmi berhubung dengan pemberian 1000 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India. 

Ketiga, Kenapakah setakat ini masih belum  ada ‘blue print’ berhubung dengan perkara yang dibangkitkan. Pengumuman Najib patut disokong dengan ‘blue print’ yang terperinci bagaimana perkara ini akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Keempat, Najib harus memberi maklumat yang terperinci mengenai bilangan pelajar matrikulasi  yang akan diambil di setiap Instititut Pengajian Tinggi Awam. Bilangan pelajar mengikut universiti dan kolej perlu disenaraikan. 

Kelima, bilangan tempat mengikut program atau bidang kursus matrilukasi juga perlu disenaraikan untuk pengetahuan umum.

Kesemua persoalan di atas perlu dijawab oleh Najib sebelum janji yang dibuat  itu boleh dipercayai. Jika beliau tidak  berani  menjawap soalan-soalan di atas, maka sudah pasti janji ini merupakan janji kosong pilihanraya untuk memenangi hati masyarakat India.

Berhubung dengan perkara itu, Pakatan Rakyat Perak telah melancarkan satu risalah Bahasa Tamil meminta Najib menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan. Risalah tersebut telah dilancarkan di Pasar Awam Jelapang pada pagi ini.