Ahad, 4 Mac 2012

Pengundi India Masih Bersama Pakatan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3 Mac 2012 di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.

Pengundi India Masih Bersama Pakatan Rakyat



Pakatan Rakyat Sungai Petani telah menganjurkan satu ceramah perdana di Taman Keladi pada 3 Mac 2012. Ceramah itu dihadiri lebih kurang 8000 orang yang datang dari kawasan Sungai Petani dan sekitarnya. Antara penceramah-penceramah utama ialah  YB Datuk Saifudin,  YB Datuk Johari, YB V.Sivakumar dan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Walaupun berhujan di kawasan tapak ceramah itu, tetapi orang ramai tidak berganjak lalu mendengar ceramah yang bermula jam 9 malam sehingga  tamat lebih kurang 12.15 malam. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga telah mengadakan beberapa program di kawasan sekitar Sungai Petani pada hari yang sama. Barisan Nasional telah membawa orang ramai ke tempat program mereka dengan menaiki berpuluh-puluh bas dari luar. Tambahan pula program mereka diberi makanan dan macam-macam imbuhan lain. Tetapi ramai juga di kalangan orang-orang Sungai Petani telah memilih untuk  menghadiri ceramah Pakatan Rakyat di Taman Keladi. Pakatan Rakyat tidak menyediakan  makanan  dan minuman untuk orang-orang yang datang mendengar ceramah. Tambahan pula,  orang-orang yang datang  itu sanggup berbasah hujan  sehingga tamat program. Ini terbukti bahawa orang ramai tidak boleh diperdayakan dengan imbuhan-imbuhan  seperti wang ringgit dan makanan. Rakyat Malaysia sudah mahu melihat perubahan. 

Dalam ucapan YB V.Sivakumar, beliau menyatakan bahawa kini  Barisan Nasional memberi  fokus utama kepada pengundi-pengundi India. Barisan Nasional telah hilang hampir keseluruhan undi orang-orang Cina. Selain daripada itu hampir separuh daripada orang-orang Melayu juga menyokong Pakatan Rakyat. Jumlah ini semakin meningkat setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan tidak bersalah di mahkamah baru-baru ini. Tambahan pula, isu NFC yang melibatkan keluarga Sharizat juga telah membuka mata ramai orang-orang Melayu yang duduk di atas pagar. 

Orang-orang India pernah menjadi pengundi setia kepada Barisan Nasional sehingga PRU 12. Tetapi dalam PRU 12, sebahagian besar daripada orang-orang India telah memberi sokongan kepada pembangkang iaitu DAP, PAS dan PKR. Pada 25 November 2007, HINDRAF telah berjaya membawa berpuluh-puluh ribu orang India untuk berdemontrasi di Kuala Lumpur. Inilah pertama kali orang-orang India dari seluruh negara turun bersama untuk menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Ekoran daripada demontrasi itu,  5 orang pemimpin HINDRAF telah ditahan dibawah undang-undang kejam ISA. Keangkuhan kerajaan Barisan Nasional telah menambahkan perasaan marah dan kebencian orang-orang India terhadap kerajaan kuku besi. Selain daripada itu, Barisan Nasional juga tidak menunaikan 18 tuntutan yang dibuat oleh HINDRAF ketika itu. Akibatnya sebahagian besar daripada orang-orang India telah menolak Barisan Nasional dalam PRU 12. 

Barisan Nasional sedar bahawa kehilangan sokongan daripada orang-orang India juga merupakan satu faktor yang besar yang telah mengakibatkan Barisan Nasional hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbangnya  5 buah kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia.

Oleh yang demikian, kerajaan Najib memberi tumpuan yang keterlaluan kepada masyarakt India semata-mata untuk memenangi PRU13. Barisan Nasional cuba membeli undi orang-orang India dengan memberi wang dan hamper. Sambutan Deepavali tahun 2011 adalah cukup meriah di seluruh negara. Setiap parti politik komponen Barisan Nasional memberi hamper kepada orang-orang India di merata tempat.  Ada dikalangan keluarga India yang menerima 3 atau 4 biji hamper sebelum dan selepas Hari Deepavali. 

Sambutan Pesta Ponggal juga dibuat dengan begitu meriah di seluruh negara selama2 bulan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri yang lain. Mana pernah Pesta Ponggal disambut selama 2 bulan sebelum ini. Pada hari Thaipusam, ‘cut out’  Najib yang begitu besar diletakkan di dalam kawasan kuil Batu Caves.  Semua ini dilakukan untuk mengambil hati orang India. Barisan Nasional mengharapkan supaya orang-orang India mudah ditipu dan akan kembali kepada pangkuan Barisan Nasional setelah melihat perubahan-perubahan ini. 

Tetapi, semua ini tidak dapat memenangi hati orang-orang India.  Pemberian  dan gimik politik seperti ini adalah propaganda Barisan Nasional yang tidak boleh dipercayai lagi. Orang-orang India tidak boleh ditipu dengan pemberian-pemberian seperti ini. V.Sivakumar cukup yakin bahawa tidak kurang daripada 60% orang-orang India masih menyokong Pakatan Rakyat. Segala usaha akan diambil oleh Pakatan Rakyat untuk meningkatkam  sokongan pengundi-pengundi India mencapai 70% menjelang PRU 13.

Sabtu, 3 Mac 2012

Nostalgia Bawah Pokok


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pegerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 3 Mac 2012 di Ipoh.
Nostalgia Bawah Pokok

Tiga tahun yang lalu iaitu pada 3 Mac 2009 satu peristiwa bersejarah telah berlaku di negeri Perak. Peristiwa itu tidak boleh dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pertama kali dalam sejarah negara ini, persidangan Dewan Negeri Perak telah berlangsung di bawah ‘Pokok Hujan-hujan’.  Walaupun persidangan itu nampak ganjil tetapi ia telah membawa makna yang besar dalam sejarah politik tanahair kita.  Pesidangan Bawah Pokok ini bukanlah bertentangan dengan undang-undang atau perlembagaan negara. Ramai diantara pakar-pakar perlembagaan bersetuju bahawa Pesidangan Bawah Pokok itu adalah sah di sisi undang-undang.

Untuk satu persidangan Dewan Negeri yang sah hanya 2 syarat perlu dipenuhi iaitu kehadiran Speaker  dan korum yang mencukupi. Pada 3 Mac 2009, persidangan yang berlaku di bawah pokok itu memenuhi kedua-dua syarat yang diperlukan oleh undang-undang. Oleh yang demikian, Persidangan Bawah Pokok itu adalah sah. Tidak ada apa-apa syarat mandatori untuk memastikan persidangan harus diadakan di tempat tertutup seperti dalam dewan. Bumbung dan dinding bukanlah syarat yang perlu ada untuk mengadakan satu persidangan Dewan Negeri yang sah.

Saya telah mengeluarkan notis persidangan tergempar  kepada semua ahli-ahli Dewan Negeri Perak. Tetapi Ahli-ahli Dewan Negeri Barisan Nasional telah mengambil keputusan supaya tidak menghadiri persidangan tersebut. Mereka menuduh  bahawa saya telah memanggil persidangan haram. Alasan mereka itu adalah untuk mengelakkan diri daripada menghadiri persidangan itu. Mereka risau, Barisan Nasional tidak dapat membuktikan undi majoriti di dalam Dewan Negeri Perak. Jika mereka gagal berbuat demikian, Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa di Perak.

Barisan Nasional mendakwa bahawa Speaker tidak ada kuasa untuk memanggil Dewan bersidang. Ini adalah tidak benar kerana dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Negeri Perak kuasa itu diberikan kepada Speaker. Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa persidangan. Barisan Nasional cuba meniadakan kuasa itu untuk kepentingan politik mereka. Tetapi, saya tidak boleh tunduk kepada kehendak golongan yang  mengilakan  kuasa ini. Saya telah diberi mandat oleh Dewan Negeri Perak untuk  menjalankan tanggungjawab saya berasaskan prinsip-prinsip demokrasi. Oleh itu, saya  tetap mahu meneruskan persidangan tergempar itu walaupun dihalang dan diugut oleh pelbagai pihak.

Pada pagi 3 Mac 2009, beratus-ratus anggota polis dan FRU sudah berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghalang saya dan wakil-wakil rakyat yang lain bersidang seperti yang dirancang. Kami dihalang di pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberi arahan kepada pihak polis untuk menghalang persidangan itu. Pihak eksekutif telah menafikan kuasa Speaker dan mencemar amalan demokrasi berparlimen di negeri Perak.

Selepas bertikam lidah  dan sedikit pergelutan dengan pihak berkuasa dan polis, wakil-wakil  rakyat terpaksa meninggalkan  tempat itu. Pihak polis sudah bersedia untuk menggunakan kekerasan terhadap orang ramai yang berkumpul di situ. Ramai juga samseng-samseng telah dibawa dari luar untuk menghalang wakil-wakil rakyat daripada bersidang pada hari itu.

Kemudian, Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat telah berkumpul semula di bawah sebuah pokok kira-kira 150 meter daripada Bangunan Perak Darul Ridzuan. Pada masa itu, saya telah mengambil keputusan untuk meneruskan persidangan Dewan Negeri Perak di bawah pokok itu  berasakan ‘doktrin keperluan’. Keputusan itu dibuat dalam keadaan terdesak kerana saya tidak boleh membatalkan persidangan yang telah diberi notis kepada semua wakil-wakil rakyat. 

Dalam persidangan yang aneh itu, 3 usul telah diluluskan.  Persidangan yang bersejarah itu berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Pesidangan itu telah disaksikan oleh lebih daripada 2000 orang. Selepas itu semua wakil rakyat dan orang awam telah bersurai dari kawasan tersebut. 

Sehingga hari ini persidangan bawah pokok menjadi satu topik perbualan politik yang hangat. Saya juga sedang menulis sebuah buku yang menceritakan krisis politik Perak yang dilihat dari kaca mata seorang Speaker. Tema buku itu juga adalah mengenai Persidangan Bawah Pokok yang membawa seribu satu makna dalam hidup saya. Saya masih teringat setiap detik Persidangan Bawah Pokok yang berlaku tiga tahun yang lalu. Setiap kali saya imbas kembali peristiwa itu, saya mendapat semangat perjuangan yang lebih kental untuk menuntut keadilan.

Jumaat, 2 Mac 2012

NFC & Kidex, Kronisme & Nepotisme


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 2 Mac 2012 di Pejabat SPRM Ipoh.

NFC & Kidex, Kronisme & Nepotisme


Najib harus menjawab kenapa konsesi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) diluluskan oleh Kabinet kepada penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam? Projek bernilai 2.2 billion ini diberikan kepada Syarikat Emrail Sdn Bhd & Zabima Engineering Sdn Bhd. Datuk Hafarizam merupakan Pengarah di kedua-dua Syarikat itu. Yang lebih memeranjatkan lagi ialah isteri Tun Zaki, mantan Ketua Hakim Negara iaitu Nik Sazlina Mohd Zain juga merupakan pengarah dalam Syarikat Emrail Sdn Bhd.

Seorang peguam UMNO dan isteri mantan Ketua Hakim Negara adalah pengarah di sebuah syarikat yang sama. Bukankah ini satu ‘konflik kepentingan’ yang boleh mencemarkan lagi institusi kehakiman di negara ini. Tambahan pula, kedua-dua tokoh ini, Datuk Hafarizam dan Tun Zaki terlibat secara langsung dalam semua kes-kes krisis negeri Perak setelah berlaku rampasan kuasa pada tahun 2009.

Pakatan Rakyat kalah dalam semua kes yang dibicarakan di Mahkamah. Hari ini, kita nampak bahawa Peguam UMNO yang membela Barisan Nasional dan Ketua Hakim Negara ketika  itu telah diberi ganjaran berbentuk projek yang bernilai RM2.2 billion oleh Najib. Seperti mana kita sedia maklum, Najiblah yang mencaturkan rampasan kuasa di negeri Perak. Kerajaan beliau memberi habuan kepada semua pihak yang terlibat dan membantu Barisan Nasional ketika itu. 

Penganugerahan projek yang besar  seperti ini tentu  sekali akan membawa keuntungan yang lumayan kepada syarikat-syarikat yang terlibat. Oleh yang demikian Syarikat yang dimiliki oleh mereka boleh dikatakan telah menerima habuan untuk kerja-kerja yang telah mereka lakukan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Hubungan Datuk Hafarizam dengan Tun Zaki terdedah apabila kita mengetahui siapakah pengarah-pengarah Syarakit Emrail Sdn Bhd yang diberikan Konsesi Kidex.

Dalam isu ini jelas bahawa Barisan Nasional telah memperalatkan institusi kehakiman negara untuk kepentingan politik mereka. Selain daripada itu, terbukti  Barisan Nasional tidak boleh dipisahkan lagi daripada amalan kronisme, nepotisme dan korupsi. 

Untuk renungan bersama, apakah bezanya diantara projek NFC dan Kidex ini? Dalam kes NFC suami Sharizat mendapat kontrak, manakala dalam kes Kidex pula isteri Tun Zaki mendapat kontrak. Akhirnya khazanah negara disapu oleh orang-orang yang mempunyai kepentingan dalam UMNO.  Mereka sanggup membelakangkan rakyat dan undang-undang negara semata-mata untuk membantu dan menyelamatkan sekutu mereka.

Laporan SPRM terhadap Datuk Hafarizam Dan Tun Zaki


Laporan SPRM terhadap Datuk Hafarizam Dan Tun Zaki 

Ramapasan kuasa yang berlaku di Negeri  Perak dilakukan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan yang telah diperkudakan untuk kepentingan politik Barisan Nasional. Sistem Demokrasi tidak dihormati dan keluruhan perlembagan negara juga telah dicemari. Dewan Negeri Perak yang mulia juga telah diceroboh oleh pihak polis dan samseng diatas arahan yang diberikan oleh Barisan Nasional.

Krisis Negeri Perak hanya boleh diselesaikan oleh pihak legislatif yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya. Tetapi pihak eksekutif telah campurtangan dalam isu dewan perundangan untuk menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Tambahan pula pihak eksekutif telah memperalatkan mahkamah untuk kepentingan mereka. Mahkamah merupakan platfom terakhir kepada rakyat Malaysia untuk menuntut keadilan. Setiap warga negara mengharapkan keadilan yang suci daripada pihak mahkamah. Mahkamah tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mahkamah harus memberi pengadilan kepada pihak-pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang dan perlembagan negara. 

Apa akan berlaku jika pihak mahkamah itu sendiri tidak boleh memberi pengadilan yang sebenar  kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor lain? 

Terdapat beberapa kes penting di negeri Perak. Antaranya ialah kes Dato Seri Nizar vs Dato Seri Zambry, V.Sivakumar vs Dato R.Ganesan, V.Sivakumar  vs  Jamaludin, Osman & Hee Yit Foong, V.Sivakumar vs SPR, V.Sivakumar vs Zambry & EXCO.  Pakatan Rakyat kalah dalam semua kes-kes di atas walaupun banyak kes-kes sebelum ini dan undang-undang negara lebih mirip dan condong kearah Pakatan Rakyat. Kenapa ini boleh berlaku? Kenapa pihak mahkamah kabur melihat undang-undang dan sanggup memberi keputusan berpihak kepada Barisan Nasional? Jawapan untuk soalan-soalan ini akan diperjelaskan satu per satu.

Peguam untuk Barisan Nasional ialah penasihat undang-undang UMNO iaitu Datuk Hafarizam Harun. Ketua Hakim Negara pada masa itu ialah Tun Zaki Azmi. Kontroversi terbaru timbul ekoran pemberian konsesi bernilai RM2.2 billion Lebuhraya Kinrara- Damansara (Kidex) kepada kedua-dua tokoh ini. Konsesi ini diberikan kepada dua orang tokoh yang terlibat secara lansung dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Antara perkara-perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian  adalah seperti berikut:

1)      Datuk Hafarizam adalah merupakan pengarah 2 buah syarikat yang menerima konsesi tersebut iaitu Emrail  Sdn Bhd  dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

2)      Nik Sazlina Mohd Zain, Isteri kepada Tun Zaki pula merupakan pengarah Syarikat Emrail.
3)      Peguam UMNO dan Isteri Ketua Hakim Negara merupakan pengarah-pengarah dalam syarikat yang sama diberi konsesi oleh kerajaan yang bernilai RM2.2 billion. Terdapat konflik kepentingan yang jelas dalam perkara ini.

4)      Emrail tidak mempunyai rekod dalam pembinaan lebuhraya. Syarikat ini hanya berhasrat menjadi syarikat kejuruteraan Rel Utama di negara dan rantau ini.

5)      Apakah sebab tender ini diberikan kepada kedua-dua syarikat ini? Apakah kriteria-kriteria yang telah diguna pakai dalam isu pemberian konsesi ini ? Adakah syarikat-syarikat lain juga dipertimbangkan? Adakah tender terbuka dibuat? Apakah terma-terma konsesi? Apakah kadar tol dan perkongsian keuntungan?

6)      Hafarizam sendiri mengaku bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka adalah antara sebilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

7)      Raja Petra dalam blognya mendakwa bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan kroni dalam menganugerahkan konsesi projek lebuhraya ini. 

Laporan dibuat di SPRM Ipoh untuk menyiasat perkara-perkara kontroversial yang ada kena mengena dengan kemelut negeri Perak. Pada dasarnya, pemberian konsesi ini adalah dilihat sebagai habuan untuk penglibatan kedua-dua tokoh ini dalam ramapasan kuasa negeri Perak.