Khamis, 28 Julai 2022

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) Menghalang Lompat Parti. 

Teks Perbahasan V. Sivakumar , Ahli Parlimen Batu Gajah, Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) Menghalang Lompat Parti pads 28/7/2022 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia 

Salam Sejahtera Tuan Yang Dipertua,
 
Pada hari yang penuh bersejarah ini, saya ingin mengimbas kembali kepada peristiwa pergolakan politik yang tercetus di Negeri Perak pada tahun 2009. Kerajaan Pakatan Rakyat yang diberi mandat melalui proses pilihanraya telah digulingkan apabila 3 orang Ahli Dewan Negeri telah berpaling tadah dan memilih untuk tidak menyokong kerajaan. Mereka telah mengkhianati rakyat apabila menyimpang pendirian dan bertindak melompat parti. Seluruh Negeri Perak dilanda kekecohan akibat angkara ahli-ahli Dewan Negeri yang tidak berprinsip itu. Kemelut ini mengakibatkan krisis perlembagaan telah berlaku di Negeri Perak ketika itu.

                          DUN Perak 
 
Seluruh rakyat Negeri Perak berasa kecewa dan marah terhadap ahli-ahli Dewan Negeri Perak yang melompat parti dan mereka yang turut terlibat dalam menjatuhkan sebuah kerajaan pilihan rakyat. Demokrasi telah terjunam ke tahap yang paling keji. Dalam pada itu, krisis itu juga telah mengheret pihak Istana juga ke dalam kemelut tersebut. Imej Negeri Perak telah tercemar akibat kerakusan dan kezaliman yang dilakukan oleh ahli-ahli politik yang hanya mementingkan kuasa dan keuntungan peribadi tanpa mengendahkan prinsip-prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada perlembagaan negara kita.
 
Kekecohan yang berlaku di Dewan Negeri Perak masa segar dalam ingatan saya. Rakyat Malaysia juga tidak akan melupakan peristiwa bagaimana seorang Speaker yang sah telah diusung keluar daripada Dewan yang mulia. Peristiwa hitam itu bukan sahaja hangat dalam liputan media tempatan tetapi mendapat perhatian dan liputan luas di media antarabangsa. Semua ini berlaku kerana angkara 3 orang Ahli Dewan Negeri yang tidak bertanggungjawab dan mengkhianati kepercayaan rakyat. Walau bagaimanapun, mereka yang melompat itu berjaya berselindung di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan kebebasan berpersatuan. Walaupun tindakan itu tidak bermoral dan berintegriti tetapi tidak ada undang-undang yang mencegahnya.
 
Tuan Yang Dipertua,
 
Sekali lagi, perkara yang sama telah berlaku di peringkat Persekutuan apabila langkah Shereton telah dicatur pada tahun 2020. Kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat telah ditumbangkan oleh segelintir ahli-ahli Parlimen yang telah keluar Pakatan Harapan yang bergabung dengan pembangkang untuk membentuk satu kerajaan melalui pintu belakang. Pihak yang dipilih oleh rakyat menjadi pembangkang, manakala pihak yang telah ditolak oleh rakyat melalui proses pengundian pula menjadi kerajaan tebuk atap. Semua ini berlaku kerana kita tidak mempunyai satu undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada melompat parti. Pindaan Perlembagaan yang kita buat pada hari ini akan membuka lembaran baru dalam sistem demokrasi negara kita. Ini akan meninggalkan satu legasi yang cukup bermakna kepada generasi akan datang. Hari ini, kita mendapat peluang untuk membersihkan yang kotor, menjernihkan yang keruh, membetulkan yang salah, mensucikan yang zalim, mengindahkan yang hodoh, memekarkan yang layu.
 
Hari ini kita bersama-sama akan mengundi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya ahli-ahli Parlimen tidak lagi mempunyai kebebasan untuk melompat parti secara sewenang-wenangnya. Oleh yang demikian, saya menyusun sepuluh jari menyeru kepada semua ahli-ahli parlimen di sebelah sana dan di sebelah sini untuk menyokong pindaan perlembagaan ini atas sebab-sebab berikut:
1. Untuk menghidupkan semula dan memperkukuhkan semangat demokrasi berparlimen di negara kita.
2. Untuk menghalang ahli-ahli Parlimen bebas bertukar haluan setelah mendapat kepercayaan rakyat setelah menang pilihanraya.
3. Untuk menjaga kestabilan politik supaya tidak berlaku permainan politik yang keterlaluan yang merugikan rakyat dan negara.
4. Untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ahli-ahli politik dan sistem pilihanraya negara yang tidak lagi dipercayai oleh sebilangan besar pengundi-pengundi.
5. Untuk menghindari amalan-amalan rasuah yang menjadi pendorong atau faktor penarik kepada ahli-ahli Parlimen untuk melompat parti.
6. Untuk menghalang mana-mana ahli Parlimen daripada diugut atau dipaksa oleh mana-mana pihak untuk melompat parti.
7. Untuk menjamin kelancaran pentadbiran kerajaan sekurang-kurangnya 5 tahun selepas sesuatu pilihanraya umum diadakan.
8. Untuk membolehkan pelabur-pelabur asing  berkeyakianan untuk melabur di negara kita yang lebih stabil dengan dasar-dasar yang jelas.
9. Untuk menjamin dan memastikan doktrin pengasingan kuasa tidak tergugat supaya pihak-pihak lain tidak campurtangan dalam hal-ehwal dan urusan badan perundangan.
10. Untuk memperbaiki imej atau nama negara di kaca mata dunia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang subur.
 
Tuan Yang Dipertua,
 
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli-ahli Parlimen yang akan menyokong pindaan pembangkang sebentar lagi. Semua nama ahli-ahli Parlimen ini akan terukir dalam ingatan setiap rakyat Malaysia yang mencintakan negara ini. Bagi mereka yang sengaja tidak hadir atau memilih untuk tidak menyokong pindaan ini, maka golongan ini akan dicerca dan dianggap sebagai anti demokrasi. Mereka ini akan dilihat sebagai orang-orang yang tidak bermoral dan tidak berintegriti. Mereka ini juga harus dianggap tidak layak menjadi pemimpin dan tidak berhak untuk bertanding dalam piliharaya akan datang.
 
Tuan Yang Dipertua,
 
Hari ini kita membuat sejarah baru, saya juga percaya bahawa ini akan membuka ruangan kepada semua negeri-negeri juga akan turut menyokong usaha ini. Justeru, membolehkan negeri-negeri mengubal enakmen-enakmen yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

                     V. Sivakumar 
 
Akhir sekali, saya ingin mentintakan kebanggaan saya sebagai seorang wakil rakyat DAP kerana tiada seorang pun dari kalangan 42 Ahli Parlimen berganjak seinci pun daripada pendirian dan semangat perjuangan yang kental. Walaupun disogok dan ditekan, kami tidak mahu mengkhianati rakyat yang mengundi kami. Semangat kesetiakawanan kami mendorong kami sama-sama memikul tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada parti yang kami mewakili. Timbul atau tenggelam, hidup atau mati, kami sama-sama akan mempertahankan perlembagaan, prinsip-prinsip demokrasi dan kedaulatan negara.
Batu Gajah menyokong sepenuhnya pindaan perlembagaan yang dicadangkan.

Terima kasih.