Rabu, 2 November 2011

Bangunan SJKT Gopeng Dimakan Anai-anai, Keselamatan Murid Terancam


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh ,Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 November 2011 di Gopeng.


Bangunan SJKT Gopeng Dimakan Anai-anai, Keselamatan Murid Terancam


SJKT Gopeng merupakan sebuah sekolah yang dibina pada tahun 1965. Kebanyakan  dana untuk membina sekolah ini dikutip daripada orang ramai sebagai sumbangan ikhlas pada masa itu. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan.  Adakah sekolah ini menerima bantuan penuh seperti yang disyaratkan? Ini menjadi satu tanda tanya kerana kerajaan tidak prihatin dalam menyelesaikan satu masalah yang memerlukan perhatian yang segera. 


Saya telah menerima aduan daripada beberapa orang ibubapa bahawa  bangunan sekolah ini telah  dimakan anai-anai. Oleh yang demikian, bangunan sekolah itu semakin hari semakin reput. Saya difahamkan pihak sekolah telah melaporkan perkara ini kepada pihak Pejabat Pelajaran Negeri Perak. Hasil daripada aduan tersebut, pihak Jabatan Kerja Raya telah menyiasat keadaan bangunan sekolah itu beberapa bulan yang lepas. Sebagai tindakan awal, pihak Jabatan Kerja Raya telah meterai salah satu daripada bilik darjah di sekolah itu. SJKT  Gopeng hanya memiliki 6 bilik darjah dan 1 daripada tidak digunakan sekarang kerana reput dimakan anai-anai. Bagaimanakah keadaan bilik-bilik darjah yang lain? Saya mendapat maklumat bahawa kesemua bilik darjah menghadapi masalah yang sama. Dalam kata lain, keseluruhan bangunan itu menghadapi masalah anai-anai yang sangat serius. 


Untuk memastikan keadaan yang sebenar, saya bersama-sama dengan beberapa orang wakil Pakatan Rakyat dan NGO telah turun padang pada 2 November 2011 untuk melihat sendiri keadaan bangunan sekolah tersebut. Akan tetapi, rombongan kami telah dihalang oleh pihak sekolah daripada memasuki kawasan sekolah. Pihak sekolah memberi alasan bahawa mereka telah menerima arahan daripada Pejabat Pelajaran Negeri  supaya tidak membenarkan kami memasuki kawasan premis sekolah. 


Saya rasa sedih dan kecewa kerana pihak kerajaan cuba menghalang  seorang wakil rakyat daripada menjalankan kewajiban. Adakah menjadi satu kesalahan untuk seorang wakil rakyat menyiasat sendiri aduan awam mengenai keadaan sekolah  yang membahayakan anak murid dan guru-guru? Bukankah ini merupakan  tanggungjawab  dan kewajipan seorang wakil rakyat? 


SJKT Gopeng mempunyai jumlah murid seramai 200 orang. Keselamatan anak-anak ini adalah penting dan harus diberi keutamaan.  Tindakan menghalang kami untuk melihat keadaan bangunan sekolah itu sendiri menambahkan keraguan dan kekhuatiran kami mengenai keselamatan murid-murid SJKT Gopeng. 


Adakah kerajaan cuba mengelak dan menutup  kecuaian  pihaknya yang tidak mengambil tindakan segera  mengatasi keadaan fizikal bangunan sekolah itu yang membahayakan keselamatan penghuni-penghuninya.  Saya telah menulis surat kepada Pengarah Pelajaran Negeri Perak dan Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk memberi maklumbalas berhubung dengan perkara ini. Ibubapa murid-murid sekolah ini sungguh mengharapkan pihak kerajaan mengambil tindakan segera sebelum apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di sekolah ini.

1 ulasan:

  1. tolong hubungi saya kalau ada masalah anai-anai.0176334544

    BalasPadam