Selasa, 8 Mac 2011

ANWAR DIGANTUNG

Pada Persidangan Parlimen penggal keempat (ke-4) selepas Pilihanraya Umum Ke-12, tercatat satu lagi peristiwa hitam yang memburukkan lagi imej negara di arena antarabangsa. Hari ini kita dapat melihat satu persidangan yang cacat yang pasti akan menjadi bahan ketawa seluruh umat manusia yang percaya dan berpegang kepada amalan demokrasi.

Persidangan yang dibuka oleh Yang Dipertuan Agong pada 7 Mac telah dilangsungkan tanpa adanya Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perlakuan ini telah menjejaskan amalan demokrasi dan juga dengan jelasnya menggambarkan kekejaman kerajaan Barisan Nasional yang memerintah secara kuku besi.

Apa gunanya ada Parlimen apabila Ketua Pembangkang dinafikan hak untuk berbahas mengenai isi kandungan titah ucapan DiRaja yang akan menjadi landasan dasar-dasar dan arah tuju negara?

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang telah digantung dari menghadiri persidangan Parlimen selama 6 bulan oleh Speaker Dewan Rakyat. Ini sudah tentu atas arahan kerajaan Barisan Nasional yang zalim. Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet bersama-sama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain kecut untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya soalan berkaitan dengan hubungan negara kita dengan APCO.

Parlimen adalah satu-satunya tempat yang mempunyai imuniti untuk Wakil Rakyat membangkitkan apa jua isu berkaitan negara kita ini. Tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menghalang ahli-ahli Parlimen untuk membangkitkan sesuatu masalah yang melibatkan negara ini. Atas tujuan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bangkitkan isu APCO bersama bukti-bukti yang kukuh. Tetapi beliau telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di dalam Persidangan Dewan Rakyat lepas.

Jawatankuasa ini telah mengambil keputusan untuk menggantung beliau untuk masa selama 6 bulan. Beliau seharusnya diberi peluang untuk memberikan penjelasan sepenuhnya berkaitan dengan tuduhan beliau yang menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menandatangani kontrak dengan syarikat APCO yang juga berfungsi sebagai penasihat bagi Israel. Kontrak ini telah menelan belanja sebanyak RM70 juta. Wang ini adalah wang rakyat Malaysia yang boleh dipersoalkan oleh Ketua Pembangkang. Apatah lagi, secara langsung, perkara ini melibatkan keselamatan negara kita. Tetapi kerajaan Barisan Nasional yang zalim ini telah menggunakan jalan pintas yang juga boleh sifatkan sebagai taktik pengecut kerajaan Barisan Nasional, untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan dan menunjukkan bukti-bukti yang kukuh mengenai hujah beliau di Dewan Rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional telah mempergunakan Speaker Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan menggantungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan selama 6 bulan. Satu daripada komponen utama Parlimen Malaysia ialah Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya diberi ruangan yang secukupnya untuk membahaskan perkara-perkara yang difikirkan perlu untuk kebaikan, kemajuan, kebajikan dan kesejahteraan Malaysia. Tetapi malangnya, beliau tidak hadir ke Parlimen pada persidangan kali ini kerana telah digantung oleh pihak kerajaan untuk melarikan diri daripada kesalahan mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan