Rabu, 30 September 2015

SOALAN-SOALAN LISAN & BERTULIS V.SIVAKUMAR AHLI PARLIMEN BATU GAJAH. PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KE3 PENGGAL KE3 2015.

Pertanyaan-Pertanyaan YB Tuan V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ketiga Belas.

SOALAN LISAN

Soalan 1 (20 Oktober 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan samada kerajaan bercadang untuk menambahkan bilangan ambulans di Hospital Batu Gajah memandangkan keperluannya semakin meningkat menghadapi kecemasan yang kerap berlaku di kawasan ini.

Soalan 2 (22 Oktober 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah usaha kerajaan untuk merunding semula Power Purchase Agreement (PPA) yang jelas merugikan negara dan rakyat? Adakah terdapat usaha untuk meminda mana-mana undang-undang bagi membolehkan perjanjian ini didedahkan kepada umum?

Soalan 3 (27 Oktober 2015)
Tuan  Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah kes yang ditangkap dan disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak undang-undang itu dipinda pada tahun 2013. Nyatakan juga jenis-jenis jenayah berat yang telah disiasat di bawah akta ini dan tindakan-tindakan yang telah diambil.

Soalan 4 (29 Oktober 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan kesahihan dan keperluan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh. Apakah nasib buruh-buruh tempatan akibat daripada kemasukan buruh asing dengan begitu ramai yang boleh menggugat dan menjejaskan keseimbangan pasaran buruh dalam negara?

Soalan 5 (2 November 2015)
Tuan  Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah rumah yang telah dilelong oleh bank-bank di negara kita dari tahun 2006 sehingga Ogos 2015 kerana pemilik rumah tidak mampu membayar pinjaman. Apakah  langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengawal dan mengatasi fenomena yang merugikan ini?

Soalan 6 (4 November 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI BELIA dan SUKAN menyatakan jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada para belia India melalui Program NAAM iaitu projek menanam cili. Berikan secara terperinci bilangan usahawan atau petani muda yang dihasilkan melalui projek ini sejak dilaksanakan.

Soalan 7 (18 November 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta PERDANA MENTERI menyatakan perkembangan kerja-kerja penyediaan ‘blue print’ untuk memajukan ekonomi kaum India seperti mana yang telah dijanjikan dalam pembentangan RMK 11. Siapakah pihak-pihak yang terlibat dan mengetuai proses merangka ‘blue print’ tersebut?

Soalan 8 (23 November 2015)­
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan pendirian jelas Kementerian berhubung dengan sekolah-sekolah vernakular di negara kita. Itu adalah kerana pelbagai pihak membangkitkan isu berbaur perkauman berhubung dengan sekolah-sekolah vernakular yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

Soalan 9 (26 November 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan jumlah dan kadar pengangguran mengikut negeri pada masa ini. Bagaimanakah Kementerian akan menangani pengangguran di kalangan belia dan siswazah yang semakin meruncing terutamanya apabila ekonomi semakin lembab?

Soalan 10 (1 Disember 2015)
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan samada kerajaan berhasrat untuk meminda Seksyen 19 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 berkaitan dengan penalti bagi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15, 16, 17 atau 18 yang mana hukuman atau/dan denda yang dikenakan adalah dianggap terlalu longgar dan tidak munasabah.

SOALAN BERTULIS

Soalan 1  
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN dan KOMODITI menyatakan kenapakah Forest Plantation Development Sdn. Bhd enggan mengeluarkan pinjaman untuk tanaman pokok balak yang wajib dikeluarkan mengikut perjanjian pinjaman yang telah dimeterai kepada Upayapadu Plantation Sdn. Bhd?

Soalan 2
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan jumlah pekerja bank diberhentikan di  bawah Voluntary Exit Scheme (VES) dan Early Retirement Scheme pada tahun 2014 sehingga sekarang. Nyatakan nama bank dan jumlah pekerja yang terlibat secara spesifik.

Soalan 3
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta PERDANA MENTERI menyatakan syarat- syarat yang dikenakan bagi pejabat pos untuk memberi perkhidmatan SPR iaitu membuat pendaftaran pemilih baru dan pemilih yang bertukar alamat. Bilakah Pejabat Pos Pusing, Batu Gajah akan memberi perkhidmatan sedemikian?

Soalan 4
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan bilakah kerja-kerja pembinaan bangunan baru SJKT Gunung Rapat dan SJKT Menglembu akan dimulakan dan dijangka siap? Apakah kekangan yang melambatkan kerja-kerja pembinaan bagi kedua-dua sekolah tersebut?

Soalan 5
Tuan Sivakumar a/l Varatharaju Naidu [BATU GAJAH] minta PERDANA MENTERI menyatakan tindakan-tindakan kerajaan untuk merunding semula Perjanjian Konsesi Lebuhraya sedia ada yang merugikan negara. Adakah terdapat usaha untuk meminda mana-mana undang-undang yang membolehkan perjanjian ini didedahkan kepada umum termasuk Perjanjian Pembinaan Lebuhraya akan datang?