Sabtu, 10 Mei 2014

MCA Deputy President Datuk Wee Ka Siong is either intentionally confusing Malaysians or is himself confused ‎as to whether MCA will or will not review it's position in Barisan Nasional should UMNO supports the implementation of hudud.

Media Statement by Tony Pua DAP National Publicity Secretary and Member of Parliament for Petaling Jaya Utara in Kuala Lumpur on Friday, 9 May 2014


I have read and re-read Datuk Wee Ka Siong's statement on MCA's stand if UMNO were to support the implementation of hudud as reported in Malaysiakini. 

Datuk Wee was reported on the BN Backbenchers Web portal as saying "‎I said, if that happened, we will discuss our position, not that we will leave BN..‎".

He claimed that Malaysiakini twisted his statement.   The news portal had earlier reported his comments as "‎If Umno votes in favour of the hudud Bill expected to be tabled by Kelantan, MCA and other component parties in BN, made up of non-Muslims, might review their position in the coalition.‎"

I am extremely confused, and perhaps Datuk Wee will be kind enough to enlighten me. How is "we will discuss our position" substantially different from ‎the allegedly twisted "MCA might review their position" in BN?‎


The question to ask then is, who is twisting and turning? Is it Malaysiakini or Datuk Wee?

Was it because Datuk Wee came under attack from his coalition partners and Ministers like Khairy Jamaluddin that he tried to worm his way out of his conundrum, backtracking from his "heroic" position by conveniently blaming ‎Malaysiakini? 

‎What is there to "discuss" if not to "review" MCA's position in BN?  ‎

Perhaps for the record, can Datuk Wee please clarify MCA's position clearly, will MCA review it's position in BN, if UMNO supports hudud in Parliament? Or will MCA leaders timidly accept UMNO's position so as to keep their Ministership in Government? 

What is however exposed in this incident is that when UMNO raises it's proverbial fist, MCA will cower and submit to protect its interests in the coalition. It is hence quite clear that even if UMNO support the implemention of hudud, MCA will just remain a loyal servant to its master.

Tony Pua ‎

Jangan Lupa Perjanjian Malaysia 1963 Yang Memberi Jaminan Keselamatan Sebagai Syarat Kemasukan Sabah dan Sarawak.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak dan Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 8 Mei 2014 di Ipoh



Berdasarkan jawapan bertulis yang diberikan oleh Parlimen, pencerobohan kapal perang Republik Rakyat China dalam kawasan perairan negara di Laut China Selatan berlaku hampir setiap tahun semenjak tahun 2011.  Menurut Dato Seri Dr Shahidan Kassim selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada tahun 2013 berlaku peningkatan pencerobohan oleh aset-aset Republik Rakyat China yang tertumpu di kawasan Beting Patingi Ali, Beting Raja Jarom dan Beting Serupai (James Shoal). Semuanya terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif Malaysia (ZEE).

Sepanjang tahun 2013 sehingga Februari 2014 sebanyak 7 pencerobohan dikesan yang melibatkan 16 buah aset-aset tentera laut yang dikenali sebagai People's Liberation Army Navy dan juga China Coast Guard.

Pada bulan Januari 2014 Tentera Laut Diraja Malaysia menafikan berlaku pencerobohan oleh Tentera Laut China di perairan  Terumbu  atau Beting James. Kawasan ini terletak di Laut China Selatan yang dituntut oleh Malaysia.

TLDM menafikan dakwaan bahawa berlaku pencerobohan di perairan negara kita. Menurut TLDM, tiga kapal perang China yang sedang menjalani latihan di perairan Kepulauan Spartly pada 26 Januari 2014 itu tidak memasuki perairan negara kita. Panglima TLDM, LaksamanaTan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pemantauan dan risikan daripada pihak TLDM mendapati ketiga-tiga kapal perang China itu berada jauh dari kawasan perairan Beting James.

Beting James yang berdekatan dengan Kepulauan Spartly terletak kira-kira 320 batu nautika dari Bintulu, Sarawak. Kawasan ini adalah amat kaya dengan sumber asli terutamanya petroleum.  Kawasan ini dituntut oleh Malaysia, Republik Rakyat China dan Republik Rakyat Taiwan dalam pertikaian kawasan kepulauan Spartly di Laut China Selatan.

Kenyataan Laksamana TLDM itu bercanggah dengan jawapan yang diberikan oleh  Menteri. Laksamana menafikan pencerobohan, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula memberi jawapan bahawa pencerobohan memang berlaku sekurang-kurangnya satu kes setiap tahun mulai 2011.

Menurut Laksamana lagi,  TLDM mengetahui tentang kehadiran 3 buah kapal perang China di kawasan perairan Laut China Selatan. Beliau menegaskan bahawa tiada pencerobohan seperti didakwa.

Ini adalah isu keselamatan negara. Menteri  berkata ada pencerobohan manakala Laksamana pula berkata sebaliknya.  'Siapa yang bercakap benar dan  siapa yang bercakap bohong?' Rakyat Malaysia terutamanya dari Sabah dan Sarawak berhak untuk mengetahui samada benar atau tidak berlaku pencerobohan oleh kapal perang China di perairan Malaysia di Laut China Selatan.

Pada bulan Februari 2014,  Menteri Luar Negeri  Datuk Seri Anifah Aman pula berkata  kementeriannya tidak menerima sebarang maklumat berhubung dengan kejadian pencerobohan 3 buah kapal perang China di perairan Sarawak seperti yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa.

Perbezaan fakta dan pendapat ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dalam isu keselamatam negara. Adakah kerajaan cuba untuk menutup sesuatu akibat daripada pencerobohan itu? Menjaga hubungan antarabangsa bukanlah alasan yang munasabah apabila isu keselamatan rakyat dan negara timbul.

Dato Seri Dr Shahidan Kassim mengakui tentang pencerobohan kapal perang China di perairan negara kita. Persoalannya ialah kenapa kerajaan Malaysia tidak dapat berbuat apa-apa ketika pencerobohan itu berlaku. Kemasukan kapal perang China di perairan Malaysia harus dianggap sebagai satu ancaman. Kerajaan Persekutuan harus bertanggungjawab kepada segala kesan dan akibat kegagalan mereka bertindak terhadap kemasukan kapal perang di dalam perairan Malaysia.

Kerajaan Persekutuan harus memberi penjelasan penuh mengenai kemasukan 3 buah kapal perang China pada bulan Januari tahun ini. Ini adalah penting untuk keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. Kerajaan Persekutuan tidak boleh lupa kepada Perjanjian Malaysia 1963 yang menjanjikan perlindungan keselamatan kepada Sabah dan Sarawak. Perjanjian ini dibuat oleh pemimpin-pemimpin Malaya, Sabah dan Sarawak. Perkara keselamatan Sabah dan Sarawak adalah salah satu syarat penyertaaan dan penubuhan Malaysia.

Saya masih tidak faham kenapa tentera laut kita gagal bertindak ke atas kehadiran kapal laut China yang memasuki perairan Sarawak? Kerajaan harus bertanggungjawab dan memberi jawapan yang dikehendaki untuk menjaga kepentingan dan kedaulatan negara kita ini. Kerajaan juga harus mengambil segala langkah-langkah keselamatan supaya pencerobohan seperti ini tidak akan berlaku pada masa hadapan dan bertindak tegas terhadap sesiapa jua yang melanggar memasuki sempadan negara kita.

Adakah Tun Mahathir Buta Apabila Melihat Kaum Bukan Melayu?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 5 Mei 2014 di Ipoh

'Semua Cina adalah kaya dan India adalah doktor dan peguam.' Ini adalah satu kenyataan yang paling kurang bijak dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Bin Mohammad. Beliau telah membuat satu kenyataan yang begitu umum untuk menutup segala kekurangan dan kelemahan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Kenyataan beliau seolah-olah semua orang cina dan India dalam negara ini kaya raya dan tidak memerlukan bantuan kerajaan.

Kenyataan beliau ini tidak masuk akal dan mencemari nama negara kita kerana seorang bekas Perdana Menteri berani membuat pengumuman palsu secara terang- terang. Kerajaan Barisan Nasional mengamalkan dasar diskriminasi terhadap kaum Cina dan India sejak kemerdekaan sehingga ke hari ini. Orang-orang Cina dan India ditindas oleh Barisan Nasional dan berselindung di bawah peruntukan perlembagaan negara yang memberi hak keistemewaan kepada orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera.

Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera adalah hak perlembagaan. Saya tidak mempersoalkan hak itu. Tetapi, tidak ada apa-apa perkara dalam perlembagaan untuk membolehkan kerajaan ini untuk mengamalkan dasar diskriminasi terhadap kaum- kaum lain di negara ini. Malah terdapat banyak peruntukan-peruntukan perlembagaan yang memberi hak dan jaminan kepada orang-orang Cina dan India sebagai warganegara Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional terang-terang mengamalkan dasar diskriminasi kaum sehinggakan kaum Cina dan India merasakan mereka ini dilayan sebagai warganegara kelas kedua dan ketiga. Diskriminasi kaum di negara ini tidak boleh dinafikan oleh mana- mana pihak. Ini adalah satu realiti yang boleh dibuktikan dengan mudah. Itulah sebabnya Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama telah membuat satu kenyataan mengenai dasar diskriminasi yang diamalkan di Malaysia. Beliau berhujah bahawa negara ini hanya boleh maju jika orang-orang bukan Islam juga diberi peluang dan layanan yang samarata. Beliau nampak bahawa kaum bukan Melayu dipinggirkan di negara ini.

Kenyataan ini jelas bahawa dunia luar juga mengetahui tentang dasar diskriminasi yang diamalkan di negara kita. Presiden Obama tidak akan membuat kenyataan yang sensitif tanpa membuat kajian yang terperinci mengenai  perkara. Ini bermaksud kajian dan penelitian yang dibuat oleh Presiden Obama jelas membuktikan bahawa nyata terdapat penindasan terhadap kaum Cina dan India di negara kita.

Tetapi,  masih ada pemimpin-pemimpin UMNO seperti Tun Mahathir dan Dato Seri Zahid Hamidi yang menafikan wujudnya diskriminasi kaum. Mereka merasakan kaum Cina dan India hidup mewah di negara ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ramai jutawan dari kalangan orang cina dan orang  India. Tetapi ini tidak bermaksud semua orang- orang cina dan india adalah kaya raya. Terdapat ramai orang bukan Melayu hidup di bawah paras garis kemiskinan di negara ini.

Kesimpulan Tun Mahathir bahawa kaum bukan melayu di negara ini hidup kaya raya adalah satu penipuan dan percubaan untuk memutarbelitkan fakta yang sebenar. Kalau begitu, sanggupkah beliau bersetuju jika saya membuat kenyataan bahawa orang-orang Melayu juga amat kaya di negara ini dengan merujuk kepada anak beliau yang juga memiliki harta dan perniagaan bernilai berbilion ringgit? Kecuali beliau mahu membuat pengakuan bahawa beliau bukan keturunan Melayu. Saya juga boleh membuktikan ramai lagi usahawan dan ahli politik Melayu yang hidup kaya raya di negara ini. Tetapi, saya tidak boleh membuat satu kenyataan yang umum bahawa kaum Melayu semuanya kaya raya dan tidak perlu dibantu oleh kerajaan.

Tun Mahathir gagal melihat ribuan kaum bukan Melayu yang hidup dalam kesusahan. Ramai yang mengharapkan bantuan kebajikan daripada kerajaan untuk menyara hidup keluarga. Ramai yang tidak memiliki rumah dan harta benda. Ramai yang bekerja sebagai kuli dan buruh kasar. Ramai yang telah menjadi muflis. Ramai yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Saya rasa Tun Mahathir bukan sahaja menipu dunia luar tetapi menipu diri sendiri kerana mengatakan orang-orang India adalah golongan profesional, doktor dan peguam. Kalau begitu, kenapa statistik menunjukkan bahawa kaum yang paling ramai merangkak dalam penjara ialah kaum India? Ramai dikalangan ahli-ahli kongsi gelap dikatakan adalah daripada keturunan India. Adakah banduan- banduan  dan samseng-samseng ini sebenarnya doktor dan peguam di mata Tun Mahathir? Mereka ini adalah hasil daripada penindasan kerajaan Barisan Nasional kerana tidak ada ruangan yang secukupnya dalam pembangunan dan kemajuan sosio ekonomi negara ini.

Ekonomi Kaum India Mundur Kerana Kegagalan MIC Untuk Merangka Dasar Yang Komprehensif Awal-awal Lagi


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 Mei 2014 di Batu Gajah


Kemiskinan dikalangan kaum India bukanlah satu fenomena baru. Masalah ini wujud puluhan tahun sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Selepas kemerdekaan dicapai, kerajaan Barisan Nasional (Perikatan ketika itu) termasuk MIC tidak mempunyai satu dasar yang konkrit untuk membantu masyarakat India yang miskin.

 Dalam tahun-tahun diantara 1970 hingga 1975, taraf hidup kaum India terutamanya golongan penoreh getah yang menetap di ladang-ladang telah merosot dengan teruk sekali.  Ini adalah kerana pada ketika itu upah pekerja-pekerja ladang itu amat tergantung kepada harga pasaran getah.

Pada masa itu, terdapat sedikit peningkatan dalam harga getah iatu sebanyak 1.8% setahun. Ini sepatutnya telah menambah baik kedudukan ekonomi domestik kaum India. Tetapi peningkatan dalam harga getah itu telah ditelan oleh indeks harga pengguna yang kian meningkat dan mencecah 7.3% setahun. Oleh kerana indeks harga pengguna membengkak secara begitu mendadak, ini telah memberi kesan yang negatif kepada ekonomi ataupun taraf hidup golongan ini.

Pendapatan boleh guna golongan pekerja ladang ini terus merosot. Secara keseluruhannya,  ini telah menjejaskan ekonomi kaum India dan kadar kemiskinan pula terus meningkat. Kehidupan kaum India ketika itu tidak menentu kerana pendapatan mereka amat bergantung kepada harga pasaran dunia untuk komoditi getah.

Kedudukan ekonomi kaum India amat buruk pada tahun 1975. Ada pelbagai sumber yang boleh dirujuk dan dijadikan sebagai bahan bukti bahawa kaum India telah mengalami keparahan ekonomi yang teruk ketika itu. Kenapa kerajaan Barisan Nasional tidak membuat apa-apa dasar untuk membantu kaum India yang terjerat dalam kegawatan sektor perladangan terutamanya ladang-ladang getah?

Pemimpin-pemimpin MIC ketika itu tidak mencari satu jalan penyelesaian yang munasabah untuk membantu kaum India yang merana. Perkara ini harus diperakui oleh semua kerana memang tidak wujud apa-apa dasar khas yang dirangka untuk membantu kaum India yang miskin di negara ini.  Kerajaan Barisan Nasional dan MIC sepatutnya telah membuat satu pelan perancangan ekonomi yang komprehensif untuk membantu kaum India yang miskin dan miskin tegar ketika itu.

Pada masa yang sama, pengangguran di kalangan kaum India juga semakin meningkat iaitu dari 11% pada tahun 1970 kepada 12.2% pada tahun 1975. Peningkatan ini boleh dianggap paling tinggi  jika dibandingkan dengan kaum Melayu dan kaum Cina. Kerajaan Barisan Nasional juga gagal menyelesaikan masalah pengangguran kaum India yang menjejaskan lagi kedudukan sosio-ekonomi mereka.

Diskriminasi terhadap kaum India berlaku di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lama tanpa pembelaan oleh MIC yang hanya mementingkan kedudukan politiknya dalam komponen Barisan Nasional. Tidak salah kalau disebut pemimpin-pemimpin MIC telah lama menjual nasib kaum India kepada UMNO semata-mata untuk jawatan, pingat dan kedudukan politik mereka.

Ada rekod kajian yang membuktikan bahawa pada tahun 1970, 39% dari kalangan keluarga kaum India jatuh di bawah paras garis kemiskinan. Peratusan ini adalah amat tinggi, tetapi pemimpin-pemimpin MIC yang buta telah membiarkan kaum India menderita tanpa mengambil langkah-langkah yang sepatutnya. Jika usaha yang konkrit telah diambil ketika itu, sudah pasti Kaum India di negara ini lebih maju dan berdaya saing dengan kaum-kaum lain pada hari ini.

Rakyat Malaysia terutamanya kaum India tidak boleh memaafkan pemimpin-pemimpin MIC yang tidak peka dan cuai dalam menangani masalah sosio ekonomi ketika itu. MIC telah gagal merangka strategi-strategi ekonomi khas untuk membantu kaum India yang miskin dalam Rancangan Malaysia Ketiga di bawah Dasar Ekonomi Baru. Kaum India telah dilupakan dan diabaikan sama sekali dalam program-program pembangunan ekonomi yang dilancarkan oleh kerajaan.


UMNO dengan kuasa dominan itu telah menindas kaum India dari dahulu sehingga ke sekarang. Kegagalan kaum India dalam perkongsian ekonomi negara adalah berpunca daripada dasar diskriminasi UMNO dan kecuaian MIC dalam menangani masalah ini.

Masalah kemiskinan di kalangan kaum India perlu diselesaikan dengan segera. Kerajaan harus merangka dasar-dasar yang lebih progresif dan sistematik untuk meningkatkan keupayaan ekonomi kaum India di negara ini.  Pakar-pakar ekonomi negara kita harus diperah minda untuk menformulasikan kaedah-kaedah atau pendekatan-pendekatan ekonomi baru untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan silam. Jika kerajaan masih tidak berminat untuk berbuat demikian, maka sokongan kaum India kepada MIC dan Barisan Nasional akan terus merosot lagi.