Selasa, 27 September 2011

Lawatan Tapak Cadangan Untuk SJKT Gunung Rapat‏


SJKT Gunung Rapat memerlukan tapak baru untuk membina sekolah baru dengan kemudahan padang dan segala kelengkapan. Setakat ini 2 tapak yang dicadangkan telah ditolak oleh kerajaan. Sekarang tapak ketiga telah dicadangkan. Adakah kerajaan akan meluluskan tapak cadangan yang baru ini atau menipu sekali lagi?

Program : Himpunan Aman di hadapan SJKT Gunung Rapat Ipoh

HIMPUNAN AMAN
di hadapan SJKT GUNUNG RAPAT, IPOH
pada 02 Oktober (Ahad) @ 10.00 pagi

'KAMI MAHU TAPAK BARU'

Sila datang beramai-ramai ...
Sebarkan maklumat program ini kepada rakan-rakan anda...

SALAM PERJUANGAN


Isnin, 26 September 2011

Media Post : Penduduk Pusing Mengadu Lori Pasir Dalam Kawasan Taman



Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh, pada 26/9/2011 di Pusing, Batu Gajah.

Penduduk Pusing Mengadu Lori Pasir Dalam Kawasan Taman

Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa banyak lori pasir yang menceroboh kawasan itu kerana projek perumahan berhampiran dengan Taman itu yang bersempadan dengan Kampung Pinang B. Mereka mengadu bahawa lori-lori pasir memasuki kawasan projek itu melalui jalan-jalan di Taman Pusing Baru. Masalah ini timbul sejak 4 hari yang lepas. Satu projek perumahan telah dimulakan di kawasan itu yang melibatkan pembinaan lebih kurang 94 unit rumah.

Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa jalan-jalan taman itu menjadi kotor kerana dipenuhi dengan tanah dan pasir di merata tempat. Tambahan pula debu dan habuk berterbangan dan memasuki rumah yang berhampiran. Rumah dan kereta mereka menjadi kotor dan perlu dibersihkan dan dicuci lebih kerap lagi. Selain daripada itu, orang ramai juga bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan dan kanak-kanak yang bermain pada waktu petang.

Menurut penduduk, setiap hari berpuluh-puluh lori masuk satu dan keluar satu demi satu ke kawasan taman itu juga mengakibatkan pencemaran bunyi yang keterlaluan. Ini menjadi gangguan kepada orang-orang tua dan bayi-bayi di taman itu. Dipercayai lori-lori ini akan beroperasi untuk satu tempoh masa yang lama bagi meninggikan paras tanah rendah di kawasan itu. Ini mungkin melibatkan beratus-ratus lori yang membawa tanah akan memasuki kawasan taman ini sebelum kerja-kerja pembinaan rumah dimulakan.

V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh bersama-sama dengan bekas Ahli Majlis Batu Gajah Chan Chin Fah dan Vijakumar telah melawat tapak projek dan kawasan taman yang terlibat. Penduduk taman itu telah membuat aduan terus kepada wakil-wakil DAP ini.

V.Sivakumar telah melaporkan perkara ini kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah dengan serta merta untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Pihak Majlis harus mencari jalan penyelesaian untuk membantu penduduk-penduduk yang membuat aduan ini. Dicadangkan supaya membuka satu jalan baru ke tapak projek tanpa melalui jalan-jalan taman itu.

Khamis, 22 September 2011

Tamil Schools In Perak


Tamil Schools In Perak

Out of 523 schools in Malaysia, Perak has the highest number of Tamil schools with a number of 134 schools. There is 25% of Tamil schools in Perak and 65% of the schools are in the estate.

Issues:

1.  Due to economic reasons and limited job opportunities, the Indians have left the estate and moved to urban areas. This had reasoned the under-enrollment of students in Tamil schools is unavoidable.

2. So, how will the community and MIC going to safeguard the Tamil Schools?

3. For the past 3 years, Dato’ Veerasingam had been saying that the MIC had identified lands here and there but there is no constructive work has been materialized.

4. In many meetings, Dato’ Veerasingam said they have identified new sites for these Tamil schools :

a) Gunung Rapat
b) Jelapang
c) Langkap 
d) Sungai Siput  
e) Changkat Salak

- but there has been nothing concrete taken place as at-to-date.

Has MIC secured the so-called identified lands and has it been gazette for the schools. Hope it is not simply an empty promise for the coming general elections?

Can Dato’ Veerasingam ask the state EXCO to pass an order to gazette those lands which they said had identified? It has to be done immediately before the general elections.

 Can MIC Perak come out with a blue-print for the Tamil schools in Perak?


Lawatan Kerja di Hutan Belum


Lawatan Kerja di Hutan Belum


Lawatan Kerja di Hutan Belum

Tapak kaki harimau

Lawatan Kerja ke HUTAN BELUM

Bersama YB Chan Ming Kai, Sdr Augustine Anthony dan ahli-ahli Pakatan Rakyat

Ahad, 18 September 2011

Tangan-tangan Hitam Di Hutan Belum


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada 18/9/2011

Tangan-tangan Hitam di Hutan Belum

Baru-baru ini masalah mendogolkan hutan simpanan menjadi satu isu yang besar di Negeri Perak. Siapakah diantara ‘tangan-tangan hitam’ yang terlibat dalam pembalakan haram dan pembersihan hutan ini? Sungguh pelik kalau pihak kerajaan negeri tidak mengetahui aktiviti-aktiviti haram yang berlaku dengan begitu berleluasa. Adakah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri itu buta? Atau pura-pura menjadi pekak apabila isu ini dibangkitkan? Adalah mustahil untuk aktiviti-aktiviti haram ini dilakukan tanpa pengetahuan dan restu daripada kerajaan negeri. 

Isu membersihkan hutan seluas 74ha di Belum-Temenggor Forest Complex (BTFC)  menjadi hangat apabila perkara ini didedahkan oleh salah satu media tempatan. Sungguh menakjubkan apabila Menteri Besar Perak, Dato Seri  Zambry Abl Kadir membuat kenyataan akhbar seolah-olah beliau tidak mengetahui tentang perkara itu. Beliau memberi arahan untuk menyiasat sedalam-dalamnya mengenai aktiviti membersihkan hutan tersebut. Zambry berkata beliau tidak akan bertolak ansur sebarang  penyalah gunaan malah beliau komited untuk melindungi alam semulajadi terutamanya Hutan Belum. Beliau juga dalam kenyataanya mengatakan bahawa Hutan Belum adalah kawasan yang dilindungi dan merupakan tanah yang telah digazetkan sebagai hutan. Kenyataan beliau ‘bagai udang dalam tanggung’ itu sudah pasti tidak dapat diterima sewenang-wenangnya oleh orang-orang yang rasional.

Zambry sebagai Menteri Besar Perak harus berasa malu jika benar perkara ini berlaku diluar pengetahuan beliau. Siapakah yang berani  ceroboh memasuki dan membersihkan hutan simpanan yang dilindungi oleh kerajaan? Zambry cuba memperbodohkan rakyat Perak apabila isu ini dibongkarkan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa pengetahuan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Grik, Majlis Daerah Grik, Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain? Kerajaan negeri sudah terjebak dan harus mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan masalah yang timbul. Ini adalah kerana hutan-hutan khazanah negeri ini dimusnahkan oleh ‘tangan-tangan hitam’yang sudah tentu mereka mengetahui identitinya.

Tanah ini sebelumnya dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Tetapi ia telah dipindah milik semula kepada Kerajaan Negeri beberapa bulan yang lalu. Adakah Zambry mahu menafikan bahawa beliau tidak megetahui tentang perkara ini? Aktiviti-aktiviti membersihkan hutan ini hanya bermula sejak 2 minggu yang lalu setelah tanah kawasan itu dipindah milik semula kepada kerajaan negeri. Bukankah ini membuktikan bahawa ada unsur-unsur yang ‘tidak kena’ dalam transaksi ini? Bagaimana kerajaan negeri hendak menjelaskan jika mereka mendakwa mereka tidak mengetahui apa-apa yang sedang berlaku di sana?

Sudah tentu perkara ini telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Zambry cuba  menutup cerita ini dengan  adengan sandiwara berpura-pura. Jika benar pihak kerajaan negeri tidak tahu tentang perkara ini, orang-orang yang bersalah itu harus ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dengan serta-merta. Sudah tentu kerajaan negeri tahu siapakah yang terlibat secara terus dalam manjalankan aktiviti-aktiviti ini. Tindakan ini adalah penting untuk membersihkan nama kerajaan negeri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam skandal ini.

Dipercayai hutan itu dibersihkan untuk membuka jalan ke kawasan pendalamam yang akan diusahakan dengan penanaman kelapa sawit. Adakah aktiviti penanaman kelapa sawit juga dilakukan secara haram atau tanah itu telah diluluskan kepada pihak-pihak tertentu oleh kerajaan negeri? Walau bagaimanapun pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah ‘mencuci tangan’ dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa tentang projek penanaman kelapa sawit di kawasan pendalaman itu.

Rabu, 14 September 2011

Media View : (MAKKAL OSAI 14SEPT11)


Media Post : Tanah Runtuh Puncak Indah Pusing Kerajaan Lepas Tangan




Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 12 September 2011 di Pusing, Batu Gajah.

Tanah Runtuh Puncak Indah Pusing Kerajaan Lepas Tangan

Projek Perumahan Taman Puncak Indah Pusing dimulakan pada tahun 1999 oleh pemaju untuk membina 120 buah unit rumah. Pada asalnya dikatakan pihak kerajaan hanya meluluskan pembinaan 80 unit rumah. Tetapi, kemudian ia telah ditambahkan kepada 120 unit rumah. Harga rumah adalah dalam lingkungan RM35,000 hingga Rm100,000. Taman ini diwujudkan di atas kawasan bukit di Pusing, Batu Gajah. Walaupun nama taman ini adalah Puncak Indah tetapi peristiwa yang melibatkan taman ini adalah paling hodoh di kawasan ini.

Setelah rumah-rumah itu siap dibina, semuanya telah dijual oleh pemaju pada tahun 2001 dan 2002. Ramai juga yang menghuni di taman tersebut pada masa itu. Pada tahun 2006 satu malapetaka telah berlaku di taman ini. Tanah runtuh yang dahsyat telah menyebabkan beberapa rumah dan jalan roboh. Akibatnya penghuni-penghuni taman itu terpaksa berpindah keluar meninggalkan rumah-rumah mereka yang memudaratkan. Setakat ini dikatakan kejadian tanah runtuh telah berlaku sebanyak 3 kali.

Kini hanya 12 keluarga sahaja yang menetap di Taman Puncak Indah Pusing. Bilangan ini hanya merupakan 10% daripada jumlah unit rumah di taman ini. Dalam kata lain, 90% daripada rumah-rumah itu telah ditinggalkan begitu sahaja. Mereka tidak boleh tinggal di rumah-rumah itu kerana keselamatan mereka terjejas.

Selepas kejadian tanah runtuh itu berlaku Menteri Besar ketika itu Dato Seri Tajol Rosli pernah melawat tapak tersebut. Walaupun kerajaan negeri pernah berjanji untuk mengambil tindakan segera tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa usaha untuk menyelesaikan masalah ini. Rumah-rumah itu dibiarkan begitu sahaja sehingga barang-barang besi, dawai dan lain-lain lagi telah dicuri orang. Rumah-rumah ini dikelilingi belukar. Pemilik rumah-rumah itu terpaska membayar hutang di bank walaupun rumah mereka rosak dan tidak boleh didiami lagi. Ini merupakan satu bentuk penipuan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam projek ini. Ada juga rumah-rumah yang telah dilelong oleh pihak bank.

Apabila ada pihak yang ingin membeli rumah di situ, pihak bank pula tidak mahu memberi pinjaman. Ini membebankan orang yang mahu menjual rumah mereka. Dalam kata lain, taman ini tidak mempunyai nilai ekonomi lagi. Sesiapa yang telah membeli rumah di taman tersebut telah tersangkut dengan harta yang tidak mempunyai nilai tetapi terpaksa membayar hutang kepada bank.

Siapakah yang bersalah dan bertanggungjawab dalam hal ini?

1) Bagaimana pihak Majlis Daerah Kinta Barat (nama lama) telah meluluskan projek ini tanpa penilaian ujian tanah yang jitu? Bagaimana CF dikeluarkan? Adakah semua syarat-syarat keselamatan dipenuhi?

2) Adakah kelulusan telah diperolehi daripada pihak Geologi dan Bomba mengenai aspek keselamatan?

3) Bagaimana jurukur tanah, jurutera dan perancang bandar terlepas pandang mengenai keselamatan tapak tanah untuk membina rumah-rumah kediaman?

4) Apakah tindakan-tindakan yang diambil oleh Pegawai Daerah ketika itu terhadap pemaju dan semua pihak yang terlibat dalam projek perumaham itu?

5) Apakah tindak balas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam menyelesaikan masalah ini? Setakat ini pemilik-pemilik rumah itu memang tidak dipedulikan.

Tanah runtuh itu masih tidak dibaikpulih oleh pihak pemaju mahupun oleh kerajaan walaupun sudah 5 tahun berlalu. Natijahnya, yang menjadi mangsa ialah rakyat biasa yang telah diperdaya untuk membeli rumah di tempat yang tidak selamat. Saya minta supaya kerajaan dan semua pihak yang terlibat untuk membuka semula fail ini bagi membantu mangsa-mangsa yang kehilangan rumah.


Isnin, 12 September 2011

Rakyat Perlu Jaminan Demokrasi

Kenapa kerajaan BN tidak mahu satu pilihanraya yang bersih? Rakyat mahu melihat satu proses pilihanraya yang adil dan saksama. Tetapi kerajaan BN yang memperkudakan SPR tetap berdegil untuk tidak menunaikan permintaan rakyat melalui Bersih 2.0. BN mengancam demokrasi dengan bantuan SPR. Rakyat tidak mahu satu kerajaan yang menang pilihanraya dengan tipu muslihat. Apakah langkah seterusnya untuk rakyat dapat jaminan demokrasi melalui pilihanraya?

Khamis, 8 September 2011

Kecualikan Bayaran Lesen Bazar Semua Perayaan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Timbalan Pengerusi DAPSY Perak di Ipoh pada 7 September 2011.

Kecualikan Bayaran Lesen Bazar Untuk Semua Perayaan

Baru-baru ini Kerajaan Perak telah mengecualikan bayaran lesen bazaar Ramadan kepada para peniaga beragama Islam di seluruh negeri yang menjalankan perniagaan di sepanjang bulan mulia. Tindakan ini meringankan beban peniaga-peniaga yang mahu mencari sedikit rezeki sempena sambutan hari raya puasa. Ini  merupakan satu polisi yang baik dan prihatin terhadap peniaga-peniaga tersebut.  Walaupun tindakan ini tidak membawa manfaat atau keuntungan kepada Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran di seluruh Perak, tetapi ia membantu  dan mengalakkan peniaga-peniaga kecil  dengan  cara mengurangkan kos perniagaan mereka.  Dikatakan pengecualian lesen itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM804,503.

Kerajaan Perak juga harus mengambil langkah yang sama untuk  semua perayaan-perayaan yang lain.  Orang-orang beragama Hindu akan menyambut  perayaan Deepavali pada penghujung bulan Oktober tahun ini. Untuk itu, saya mencadangkan supaya kerajaan  Perak juga harus mengecualikan bayaran lesen bazar Deepavali di seluruh negeri. Ini  akan membantu semua peniaga-peniaga kecil  yang terlibat di negeri Perak.

Sering kali aduan diterima daripada peniaga-peniaga bazar Deepavali  di ‘Little India’, Jalan Lahad, Ipoh. Mereka merungut bahawa bayaran sewa  Khemah yang dipasang adalah terlalu tinggi dan menelan sejumlah besar keuntungan yang mereka perolehi.  Oleh yang demikian, kerajaan Perak  melalui Majlis Bandaraya Ipoh harus mengawal sewa khemah yang dipasang untuk peniaga-peniaga  kecil ini. 

Dikatakan harga ruang khemah adalah lebih kurang RM600 di tempat yang kurang strategik  dan melampaui RM1000 di tempat  berasak-asak  padat dan mempunyai tumpuan pemasaran. Jumlah bayaran yang dikenakan adalah terlalu tinggi dan tidak adil kepada peniaga-peniaga kecil  yang dicekik darah oleh pihak penganjur bazar tersebut.

Keuntungan besar dikaut oleh pihak ketiga yang menguruskan pemasangan khemah-khemah ini.  Perkara ini harus dielakkan kerana orang yang bersusah payah berniaga seharusnya mendapat keuntungan yang besar dan bukannya pihak ketiga yang mengambil kesempatan untuk mencari  dana untuk tujuan-tujuan tertentu.  Golongan ‘berat kaki berat tangan’ ini senang-senang membuat keuntungan daripada titik peluh orang lain.  Kerajaan Perak harus mengambil kira kepayahan peniaga-peniaga ini yang terpaksa membayar sewa khemah yang tinggi tiap-tiap tahun. 

Oleh itu, kerajaan harus membelek semula prosedur melantik pengajur bazar Deepavali. Pihak ketiga  yang membonceng keuntungan itu perlu dielakkan diberi kontrak mulai tahun ini. Saya mencadangkan  supaya Majlis Bandaraya Ipoh  mengambil alih kerja-kerja  pemasangan khemah  bazaar Deepavali di ‘Little India’ Ipoh.  Pada masa yang sama sewa khemah harus diberikan pada kadar yang minima diantara RM400 hingga RM600 untuk sepanjang tempoh temasya bazar Deepavali. Jika perlu,  Kerajaan negeri  harus memberi peruntukan tambahan sebagai subsidi jika kos pemasangan khemah-khemah itu tidak dapat ditampung dengan jumlah kutipan sewa. Pada masa yang sama kerajaan juga harus mengecualikan sebarang bayaran  lesen bazar di sepanjang musim perayaan itu.

Selasa, 6 September 2011

Media View : Bangunan Baru bagi Sekolah Tamil Gunung Rapat harus dibina segera (MAKKAL OSAI 27 Ogos 2011)




Media Post : PRU13 : Melahirkan Kematangan Politik Sistem 2 Parti

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada 5 September 2011

PRU13 : Melahirkan Kematangan Politik Sistem 2 Parti

Setelah melalui 12 Pilihanraya Umum, Malaysia sekarang bersedia untuk menghadapi Pilihanraya yang ke 13 seolah-olah sudah wujud sistem dua parti di negara ini. Walaupun perkara ini masih kabur tetapi pertembungan diantara 2 gabungan kuasa besar akan pasti merintis satu pola baru dalam dinamika politik Malaysia. Dua gabungan iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat terdiri daripada komponen-komponen parti politik yang mempunyai ideologi dan kepentingan tersendiri. Gabungan yang dibentuk ini adalah bertujuan menguatkan semua parti-parti yang terlibat dalam pilihanraya. Di Malaysia, tidak ada satu parti pun yang berani berkata bahawa ia boleh menubuhkan kerajaan tanpa ikatan dengan parti-parti komponen yang lain.

 

Dalam Pilihanraya Umum ke 12, Barisan Nasional yang mempunyai satu gabungan kuat UMNO, MCA, Gerakan, PPP dan parti-parti lain bertembung dengan satu daripada parti pembangkang samada DAP, PAS ataupun PKR. Pertarungan diantara kerajaan dan pembangkang di gelanggang pilihanraya seolah-olah ‘pipit berperang dengan garuda’. Pembangkang tidak pernah mempunyai satu gabungan yang kukuh. Hubungan diantara parti-parti pembangkang adalah lemah dan hanya sekadar menepati strategi satu lawan satu dalam pilihanraya umum yang lepas. Tetapi, dalam pilihanraya itu, satu tsunami politik telah mengubah corak permainan politik di negara ini. Ketiga-tiga parti pembangkang yang utama telah menzahirkan satu gabungan yang nyata dan kukuh iaitu Pakatan Rakyat. Malah gabungan ini telah berjaya menubuhkan kerajaan di 5 buah negeri selepas pilihanraya tersebut. Oleh yang demikian wujudlah sistem 2 gabungan parti-parti politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.

Ini adalah satu perkembagan positif dan perlu diterima secara hati terbuka oleh seluruh rakyat negara kita. Ini membuktikan negara kita sedang melalui evolusi politik yang lebih matang. "apabila politik sesebuah negara sudah matang, bilangan parti-parti politik yang banyak akan menjadi semakin kurang dan menguncup", kata Ahmad Boestamam, seorang tokoh politik yang terkemuka di negara kita. Kini, rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan. Mereka bukan lagi terbelenggu dengan dogma ‘Barisan Nasional harus menjadi kerajaan, yang lain menjadi pembangkang’. Rakyat sedar bahawa mereka sudah mempunyai alternatif untuk mengubah kerajaan yang memerintah. Tambahan pula, Pakatan Rakyat yang dianggap sebagai pembangkang juga telah membuktikan kehandalan mereka memerintah negeri-negeri di bawah kekuasaannya. Malah rekod atau prestasi pencapaian Pakatan Rakyat adalah lebih mantap dan hebat daripada negeri-negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Sebagai contoh, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, German dan lain-lain lagi sudah lama mengamalkan sistem 2 parti. Rakyat hanya memilih diantara 2 parti yang bertanding. Sering kali rakyat memilih secara bergilir-gilir untuk memberi peluang kepada kedua-dua parti untuk memerintah negara. Rakyat dapat membuat satu penilaian yang bijak berdasarkan polisi-polisi yang diketengahkan oleh kedua-dua pihak yang bertanding. Ini mewujudkan persaingan yang hebat serta melahirkan dasar-dasar negara yang membina dan bernas untuk kepentingan rakyat jelata. Tambahan pula sistem ini berpotensi untuk mengikis amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Rakyat negara kita seharusnya membuka minda menerima sistem 2 parti ini untuk pembangunan yang lebih ketara.

Sistem ini membenarkan peralihan kuasa yang licin daripada satu pihak kepada pihak yang lain. Ini dapat membendung pemusatan kuasa yang terlampau dan terlalu lama dipegang satu pihak yang menjadi kerajaan. Sistem 2 parti ini juga korelasi dengan falsafah yang mengingatkan kita bahawa ‘power corrupts, absolute power corrupts absolutely’ Sejak tsunami pilihanraya 2008, politik Malaysia buat pertama kalinya memberi satu harapan bahawa pembangkang mempunyai peluang untuk memerintah negara ini. Walaupun kewujudan sistem 2 parti masih samar-samar di negara kita, tetapi pembentukan 2 gabungan politik itu sendiri boleh dianggap sebagai kematangan politik yang licau serta berjaya melakar hala tuju negara ke tahap yang lebih cegat dan cekang..







Isnin, 5 September 2011

Media Post : Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Batu Gajah pada 4 September 2011


Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama



 

Seringkali keputusan dasar yang dibuat oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kepentingan politik dan tidak semestinya membawa hasil yang bermanfaat kepada rakyat jelata. Oleh yang demikian, banyak di antara program-program yang dilancarkan oleh kerajaan adalah indah khabar daripada rupa. Sebelum sesuatu dasar atau polisi diperkenalkan, kerajaan harus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau akan terjejas daripada dasar itu. Adakah tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan? Secara umumnya, pendapat daripada pihak yang terlibat atau terjejas biasanya tidak diberi perhitungan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa. Dari satu perspektif, ini adalah amalan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Adakalanya wakil rakyat juga tidak dirunding atau diminta pandangan mengenai sesuatu dasar atau projek utama yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. Kewujudan wakil rakyat juga seringkali diabaikan atau diketepikan oleh pihak eksekutif yang berkuasa.

Sebelum merangka sesuatu dasar atau melaksanakan sesuatu projek utama yang melibatkan orang ramai, perkara itu perlu dipertimbangkan dalam pelbagai aspek dengan mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak tertentu. Tetapi, alasan yang kerapkali diberikan oleh pihak berkuasa ialah perkara seperti ini tidak wajar dilakukan kerana ia akan mengambil masa yang lama dan tidak kos efektif. Oleh itu, kerajaan beranggapan bahawa langkah ini tidak praktikal dan boleh diabaikan. Memandangkan rakyat telah mengundi dan memilih satu kerajaan maka dianggap mandat telah diberikan kepadanya. Oleh itu, kerajaan berani mendabik dada melaksanakan apa jua tindakan atau dasar yang dirasakan sesuai untuk kepentingan politik. Perkara ini memang sukar untuk dipertikaikan kerana keputusan tersirat pilihanraya adalah memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini megikut selera kerajaan yang dipilih. Tetapi, adakah sistem ini akan membawa manfaat atau faedah kepada rakyat yang memilih kerajaan itu?

Pada pandangan saya, walaupun kerajaan telah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, satu mekanisme diperlukan untuk memastikan dasar-dasar dan projek-projek utama yang dilaksanakan oleh kerajaan mempunyai kepentingan rakyat. Bagaimanakah perkara ini boleh dilaksanakan tanpa merugikan masa dengan nilai kos yang rendah?

Selain daripada itu, terdapat banyak dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tetapi tidak pernah dikaji semula. Sebagai contoh Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah, Wawasan 2020, Islam Hadari dan lain-lain lagi. Adakah dasar-dasar ini digunapakai lagi atau telah menemui ajal semulajadi apabila berlaku perubahan dalam tampuk pimpinan negara. Semua dasar yang yang pernah dilancarkan oleh kerajaan perlu dikaji semula supaya seluruh rakyat Malaysia tahu arah tuju negara. Sekarang konsep 1Malaysia telah diperkenalkan, tetapi visi ini juga akan hilang dimakan masa apabila berlaku perubahan dalam pimpinan jemaah menteri.

Untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan satu mekanisme untuk mengkaji semula dasar-dasar yang sedia ada dan mengolah dasar-dasar baru. Untuk itu, Pakatan Rakyat bercadang untuk mewujudkan Majlis Pakar-pakar (Council of Experts) jika berjaya menjadi kerajaan Pusat selepas Pilihanraya Umum ke-13. Pakatan Rakyat akan mewujudkan Majlis ini dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dasar baru dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat. Tindakan ini akan melancarkan lagi pentadbiran negara kerana kepentingan rakyat dan negara akan diutamakan.

Ahad, 4 September 2011

Media Post : Pemberian Bantuan Kebajikan Harus Dipercepatkan

Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh 
pada 3 September 2011 di Ipoh

Pemberian Bantuan Kebajikan Harus Dipercepatkan

Kebajikan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan yang prihatin kepada rakyat. Tidak guna ada kementerian dan jabatan untuk menjaga kebajikan rakyat tetapi tidak mencapai matlamatnya yang sebenar. 


Didapati banyak permohonan telah dibuat untuk mendapatkan bantuan kebajikan tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkuasa. Permohonan yang dibuat tidak diberi pertimbangan sehingga ramai yang sudah putus asa dengan pihak yang bertanggunggjawab. Pelbagai rungutan dan rintihan yang kita dengar daripada orang ramai bahawa permohonan mereka ditolak secara sewenang-wenangnya.

Tambahan pula, yang lebih menyedihkan lagi ialah tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan bantuan kebajikan. Ada kalanya tempoh berbulan-bulan diambil untuk memproses sesuatu permohonan bantuan kebajikan. Apa guna memberi bantuan jika ia tidak sampai pada masa yang tepat dan amat memerlukan. Orang-orang yang memohon bantuan kebajikan adalah dari kalangan miskin atau miskin tegar. Perhatian yang serius harus diberi dengan serta-merta tanpa mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan permohonan mereka.

Apabila suami yang merupakan pembawa rezeki  keluarga  meninggal dunia, isteri dan anak-anak  yang tidak mempunyai tempat pergantungan memerlukan bantuan serta-merta. Tetapi, apabila kes seperti ini dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia mengambil masa lebih dari sebulan untuk meluluskan  bantuan. Apa salahnya  jika pihak jabatan meluluskan bantuan segera untuk membantu isteri dan anak-anak supaya satu jaminan hidup dapat diberikan kepada mereka dalam keadaan yang amat  terdesak dan memerlukan.

Begitu juga, banyak lagi permohonan yang dibuat tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Ada juga kes-kes dimana fail hilang atau tidak dapat dikesan setelah beberapa bulan permohonan dibuat. Semua ini menyusahkan lagi pemohon yang sudah pun menderita kerana tekanan hidup dan inflasi yang semakin ketara.  Ramai diantara warga emas dan ibu tunggal yang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mendapat bantuan yang diharapkan. Setiap kali ditanya, jawapannya adalah yang sama iaitu ‘masih dalam proses’. Kenapakah ini berlaku? Adakah kerajaan tidak serius untuk membantu warga miskin atau wujud ketidakcekapan yang serius dalam pentadbiran memproses bantuan kebajikan?

Kerajaan harus memberi  perhatian yang sewajarnaya terhadap masalah kebajikan rakyat. Perbelanjaan ini harus didahulukan untuk menjamin kesejahteraan seluruh rakyat negara ini. Ini juga penting untuk membendung masalah sosio-ekonomi seperti jenayah, pelacuran dan sebagainya. Jika kerajaan mengambil sikap sambil lewa terhadap permohonan bantuan kebajikan maka sudah tentu ini akan menambahkan pahit maung pemohon tersebut. Selain daripada itu, keyakinan rakyat terutamanya golongan miskin akan hilang  terhadap pentadbiran ini.

Oleh yang demikian pihak kementerian harus memberi satu ‘cut-off date’ untuk setiap jenis permohonan supaya ia dapat dijadikan sebagai kayu pengukur oleh semua pihak yang terlibat dalam permohonan bantuan kebajikan. Tambahan pula ini adalah penting untuk memastikan pencapaian KRA oleh semua pihak yang terlibat dalam proses pemberian bantuan kebajikan ini.

Sering kali kita dengar bahawa berjuta-juta ringgit telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk memberi  bantuan kebajikan kepada warga miskin, warga tua dan ibu tunggal. Tetapi, adakah wang itu sampai kepada sasaran?  Janji kerajaan seolah-olah ‘di lahir serupa tidak, di batin menggunting angin’. Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tidak wajar pihak-pihak tertentu mempersalahkan kerajaan semata-mata sekiranya bantuan yang disalurkan tidak diterima golongan terbabit. Beliau berkata kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan RM1.26 bilion bagi membantu kira-kira setengah juta golongan sasar sepanjang tahun ini.

Nilai RM1.26 billion adalah terlalu besar, tetapi masalah miskin tegar masih wujud di merata pelusuk negara. Dimanakah kesilapan telah berlaku? Persoalan ini perlu dijawab melalui tindakan kerajaan memastikan proses permohonan bantuan kebajikan adalah lancer dan cepat tanpa birokrasi yang terlampau. Ini adalah penting untuk memastikan golongan miskin benar-benar dibantu tanpa sebarang diskriminasi terhadap mereka.